ATM sentiasa minimakan risiko kemalangan semasa eksesais
KOTA BELUD - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa cuba meminimakan risiko kejadian kemalangan melibatkan anggotanya semasa menjalani eksesais.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, sukar untuk mengawal kejadian kemalangan, namun perkara itu cuba diminimakan.
"Apabila sesuatu latihan dilakukan, memang kita membuatkan mereka seperti dalam perang betul. Jadi risiko itu memang tinggi.
"Kalau kemalangan terjadi, kita hendak kawal sangat memang mustahil tetapi kita cuba meminimakan risiko tersebut," katanya sidang akhbar selepas merasmikan penutupan Eksais Ababi 2021 (Latihan Tembakan Kuasa Udara) di Lapang Sasar Udara (Lasarud) di sini pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika ditanya Sinar Harian berhubung kemalangan yang berlaku ketika eksesais dijalankan ATM sebelum ini.
Affendi berkata, kemalangan itu tidak selalu terjadi dan ia adalah kejadian terpencil.
Sebelum itu, berlaku kemalangan melibatkan anggota tentera ketika melakukan eksesais termasuk yang terbaharu seorang anggota tentera dari 10 Briged Para lemas di Sungai Pahang ketika menjalani Eksesais Para Predator Siri 1/2021 di Bera, Pahang pada 29 Ogos lalu.
Sementara itu, diminta mengulas berhubung pesawat Tentera Udara Malaysia (TUDM), Affendi berkata, aset keselamatan negara sentiasa dilakukan penyelenggaraan secara berkala bagi memastikan ia sentiasa efektif.
Katanya, perancangan untuk menggantikan aset TUDM dengan pesawat baharu ada dalam perancangan.
"Ia dalam perancangan strategi kita, kita akan lihat jangka masa, bila sampai masa tersebut kita akan mula buat proses perolehan supaya bila pesawat yang ada mencapai umur tidak efektif.
"Sama ada lambat atau tidak bergantung kepada sumber kewangan dan pada masa sama pesawat kita ada yang umur makin meningkat, kita sentiasa selenggara secara berjangka dan kita sentiasa buat.
"Sebab kita tidak mahu walau pesawat sudah berumur, tetapi tidak boleh digunakan dan bila ia terjadi, ini akan menambahkan risiko ancaman pertahanan kita," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!