Perhebatkan kumpul bakat baharu sukan: Atlet negara

Azizulhasni Awang. - Foto fail Bernama
Azizulhasni Awang. - Foto fail Bernama
A
A
A

MALAYSIA perlu memperhebatkan pengumpulan bakat baharu (talent pool) sekiranya bercita-cita untuk menjadi ‘kuasa besar’ sukan pada peringkat antarabangsa.

Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang berkata, semua pihak perlu berganding bahu dalam memastikan negara tidak ketandusan bakat bagi melahirkan atlet berkelas dunia, yang mampu menjulang nama Malaysia di persada antarabangsa.

“Kerana itulah kuasa besar sukan seperti Amerika Syarikat, China dan Australia, selalunya tidak ketandusan bakat dan sering kali memiliki atlet, mahupun juara baharu.

“Walaupun ada atlet mereka telah bersara, namun atlet baharu mampu memberi kesinambungan kerana mereka mempunyai ‘talent pool’ yang besar dan pada masa sama, atlet baharu juga selalu mendorong sesama sendiri untuk pastikan prestasi mereka kekal di tahap tertinggi,” katanya.

Mohd Azizulhasni berkata demikian ketika menjadi tetamu jemputan dalam forum bertajuk ‘Misi Emas; Antara Minda, Tekad dan Daya’ anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia yang diadakan secara maya pada Selasa.

Turut menyertai forum itu, ratu gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi dan juara badminton perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) di Sukan Paralimpik Tokyo, Cheah Liek Hou.

Pelumba berusia 33 tahun itu pada masa sama memahami usaha Majlis Sukan Negara yang bergerak aktif dalam pembangunan sukan di peringkat akar umbi, dan katanya, sudah semestinya menjadi tanggungjawab pihak berkepentingan lain untuk turut sama membantu negara, mencari bakat baharu sukan.

“Saya sedar Paris 2024 akan menjadi legasi kayuhan dan penampilan terakhir saya di pentas Olimpik, saya sudah dianggap orang lama dan sampai masanya untuk bersara nanti, jadi itulah sebab kita perlukan batalion besar merangkumi muka-muka baharu untuk mencari juara seterusnya buat Malaysia,” kata pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo itu.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga berharap agar generasi muda yang berminat untuk berkecimpung dalam arena sukan, mampu mengambil iktibar pengorbanan dan minat mendalam yang dimilikinya serta barisan atlet kebangsaan lain, sekiranya mahu melangkah lebih jauh dalam sukan diceburi.

Sementara itu, berkongsi pandangan yang sama, Farah Ann mahu melihat sukan gimnastik mempertaruhkan barisan atlet muda dengan lebih kerap lagi, untuk bersaing dengan atlet ‘senior’ pada masa hadapan.

“Contohnya di Amerika Syarikat, setiap kali edisi Sukan Olimpik dipertandingkan, ada sahaja atlet baharu yang mewakili negara mereka dan harapan saya satu hari nanti ia akan berlaku dalam sukan gimnastik di negara kita,” katanya.

Turut senada, Liek Hou berpendapat lambakan atlet baharu dalam sukan badminton para sebagai satu strategi bagi menyukarkan pihak lawan menilai kemampuan pasukan negara dan berharap agar lebih ramai lagi atlet muda tampil mewakili negara, bagi menyambung legasinya selepas ini. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!