MP Jelutong dibenar hadiri sidang Parlimen esok

RSN Rayer
RSN Rayer
A
A
A

KUALA LUMPUR - Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon membenarkan RSN Rayer (PH-Jelutong) yang digantung dua hari untuk kembali menghadiri sidang Parlimen esok.

Ia menjadikan penggantungan Rayer dipendekkan kepada hanya sehari berbanding arahan awal yang dikeluarkan.

Mohd Rashid berkata, keputusan itu dibuat atas budi bicara beliau setelah mengambil kira permohonan yang dibuat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai perkara itu.

"Saya menghormati dewan ini dan saya pun perlu dihormati oleh Ahli-ahli Dewan Rakyat.

"Saya putuskan (Rayer digantung) satu hari dan esok beliau boleh masuk tapi Ketua Pembangkang boleh nasihatkan beliau agar kurang-kurangkan provokasi supaya kita dapat menyelesaikan banyak perkara dengan baik dan sempurna," katanya pada sidang Dewan Rakyat sesi petang pada Selasa.

Pada sesi sebelah pagi, Dewan Rakyat kecoh seketika apabila Mohd Rashid mengarahkan Rayer keluar dewan dan digantung daripada menghadiri sidang untuk dua hari.

Tindakan itu dibuat kerana keengganan Rayer menarik perkataan 'memalukan' ketika mempersoalkan keputusan Mohd Rashid untuk tidak memperincikan alasan mengapa usul menggantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun ditolak.

Sebelum Mohd Rashid mengumumkan keputusan itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson meminta pergantungan itu dipertimbangkan kerana istilah 'memalukan' itu bukan disebut Rayer seorang bahkan disebut oleh ramai ahli Parlimen yang lain ketika kekecohan berlaku.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali (Pas-Kuala Nerus) yang bangun mencelah meminta agar Rayer membuat permohonan maaf secara terbuka apabila dibenarkan masuk ke dewan esok.

"Ini kerana tindakan (Yang Berhormat) Jelutong bukan kali pertama dan ia akan jadi pengajaran kepada semua Ahli Dewan untuk kita beradab dan tidak biadab dalam dewan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:MP Jelutong diarah keluar dewan, digantung dua hari

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!