Safiah, wanita pertama orang asli dilantik Ketua Pengarah Jakoa
CAMERON HIGHLANDS - Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor menyifatkan pelantikan Sapiah Mohd Nor sebagai Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) mencipta satu sejarah buat masyarakat orang asli khususnya di negara ini.
Menurutnya, pelantikan Ketua Pengarah ke-18 dari suku Semai yang berkuat kuasa 15 September 2021 itu merupakan wanita orang asli pertama dilantik ke jawatan tertinggi perkhidmatan awam.
"Pelantikan ini juga merupakan sejarah kepada Jakoa apabila dipimpin oleh golongan wanita sekali gus meningkatkan penglibatan wanita sebagai pembuat keputusan dan masyarakat orang asli dalam perkhidmatan awam.
"Pelantikan beliau (Sapiah) diperkenan Seri Paduka Baginda, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Ujarnya, surat pelantikan Sapiah telah diserahkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur pada Selasa.
Gembira dengan pelantikan tersebut, Ramli juga berharap Ketua Pengarah baharu itu dapat menggalas amanah diberikan sebaik mungkin.
"Saya juga berharap beliau dapat memacu Jakoa ke arah lebih cemerlang demi kemajuan masyarakat orang asli di negara ini," ujarnya yang juga orang asli pertama di negara ini terpilih sebagai ahli Parlimen.
Sebelum ini, jawatan tersebut digalas Profesor Dr Juli Edo yang telah bersara pada April tahun ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!