MoU pembangkang, kerajaan bukan bermakna PH sokong undi percaya

Anwar ketika menghadiri sidang Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat pada Selasa. - Foto Bernama
Anwar ketika menghadiri sidang Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) yang dimeterai pada Isnin tidak bermaksud PH menyokong undi percaya bagi menentukan keabsahan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, ini kerana usul undi percaya tetap perlu dilakukan sebagaimana yang telah dinyatakan secara terbuka sejak awal lagi ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Negara.

Menurutnya, PH tetap meneruskan kerjasama menerusi MoU tersebut bagi memastikan usaha kerjasama dalam bidang-bidang utama termasuk Covid-19 dan ekonomi tidak terjejas.

“Dalam dokumen MoU ini, kita tidak ada pengakuan untuk menyokong kalau ada undi percaya (Perdana Menteri) sebab kita usulkan dari awal secara terbuka dalam pertemuan menghadap Yang di-Pertuan Agong dan Raja Nazrin bersama ketua-ketua parti.

“Penegasannya adalah perlu adanya undi percaya dan Raja Nazrin menyebut harus menjadi tajuk pertama persidangan Parlimen kali ini. Sebab itu bagi kita, kena bermula dengan asas ini, harus ada undi percaya.

“(Namun) kita tidak mahu isu keabsahan Perdana Menteri, membatalkan usaha kerjasama dalam bidang-bidang utama termasuk Covid-19 dan ekonomi.

"Sebab itu lah saya sebut kepada Perdana Menteri, walaupun kita tak setuju dengan keputusan untuk tidak meneruskan undi tidak percaya, kita akan tetap beri kerjasama berbincang mengenai soal MoU," katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Anwar berkata demikian ketika membahaskan Titah Diraja bagi Mesyuarat Pertama Penggal Keempat, Parlimen ke-14 pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Beliau pada masa sama turut menjelaskan dengan MoU berkenaan, PH akan tetap melaksanakan peranan sebagai pembangkang.

“Dalam dokumen MoU ini, tidak sedikit pun kita sebagai pembangkang berganjak daripada pilihan kita untuk melaksanakan tugas semak dan imbang, membantah, menyokong dan mengusulkan seperti yang kita lakukan sebagai pembangkang yang sihat sebelum ini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!