Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS
PENGUKUHAN ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada sesi awal Selasa ternyata tidak bertahan lama apabila susut pada akhir urus niaga berikutan jangkaan bahawa pihak Rizab Persekutuan AS (Fed) akan mengurangkan pembelian aset yang menyebabkan minat pelabur beralih terhadap dolar, kata peniaga.
Pada jam 6 petang, ringgit disebut pada paras lebih rendah iaitu 4.1615/1640 berbanding dolar AS daripada 4.1490/1515 pada akhir urus niaga semalam.
Ramai penganalisis telah menyuarakan kebimbangan bahawa peningkatan data Indeks Harga Pengguna (IHP) di AS akan disusuli dengan langkah Fed mengurangkan pembelian aset.
Memetik kenyataan Goldman Sachs pada Isnin, Peniaga ActivTrades Dyogenes Rodrigues Diniz berkata, bank pelaburan itu menjangkakan terdapat 70 peratus kemungkinan untuk Fed mengumumkan proses pengurangan pembelian itu pada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada November depan.
“Pelabur sudah menjangkakan mengenai kemungkinan proses itu dan ia hanya menyebabkan dolar AS terus mengukuh berbanding ringgit,” katanya.
Dalam pada itu, ringgit juga susut berbanding kumpulan mata wang utama pada akhir urus niaga pada Selasa.
Ringgit rendah sedikit berbanding euro pada 4.9164/9193 daripada 4.8921/8950 semalam dan susut berbanding yen kepada 3.7811/7834 daripada 3.7681/7703 sebelum ini.
Unit tempatan itu juga turun berbanding dolar Singapura kepada 3.0987/1008 daripada 3.0903/0926 semalam dan susut berbanding pound Britain pada 5.7687/7721 daripada 5.7356/7390, sebelumnya. -Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!