Pelajar kembali ke kampus UiTM secara berperingkat
SHAH ALAM - Proses kemasukan pelajar ke kampus Universiti Teknologi MARA (UiTM) bagi sesi akademik 2021/2022 akan dilaksanakan secara berperingkat bermula 15 Oktober depan.
UiTM dalam satu kenyataan memaklumkan, kemasukan pelajar yang lengkap divaksin ke universiti itu melibatkan semua kategori pelajar dan semua Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan keutamaan diberikan kepada pelajar berkeperluan.
Kemasukan pelajar ke seluruh sistem UiTM pula tertakluk kepada Pekeliling Universiti yang akan dikeluarkan dalam masa terdekat merujuk kepada kalendar akademik universiti.
"UiTM menyambut baik pengumuman Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad mengenai kemasukan pelajar ke kampus institusi pendidikan tinggi (IPT) secara berperingkat bermula 15 Oktober ini.
"Perincian pelaksanaan kemasukan pelajar secara fizikal ke kampus secara berperingkat seperti yang diumumkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada Selasa.
"Pada masa yang sama, UiTM sentiasa mengambil kira situasi semasa dan merujuk kepada pemakluman terkini daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN)," jelas kenyataan itu.
UiTM dalam kenyataan turut menjelaskan, pihaknya mengambil maklum mengenai perkembangan terkini Covid-19 kerana masih terdapat kluster baharu dan kes positif.
Tambah kenyataan itu, UiTM sangat mengambil berat aspek kesihatan, keselamatan warga UiTM dan masyarakat secara umumnya seterusnya memantau serta menyalurkan maklumat terkini dari semasa ke semasa.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad pada Selasa mengumumkan kemasukan semula pelajar secara fizikal ke kampus bagi sesi akademik 2021/2022 akan dilaksanakan secara berperingkat membabitkan mereka yang sudah lengkap vaksinasi bermula 15 Oktober depan.
Kemasukan itu akan dilaksanakan mengikut kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam usaha memastikan kelestarian kualiti pendidikan tinggi negara di samping meletakkan keselamatan dan kebajikan pelajar sebagai keutamaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!