Pemain JDT didenda RM40,000 jika salah guna media sosial: TMJ
TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan pemain kelab bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) boleh didenda RM40,000 sekiranya salah guna media sosial hingga mencemarkan nama JDT.
Tunku Ismail yang juga pemilik JDT bertitah, pemain juga boleh didenda RM15,000 sekiranya lambat hadir menjalani latihan.
Menurut Tunku Mahkota Johor, itu merupakan undang-undang dan polisi yang diperkenalkan kelab tersebut bagi memastikan tahap disiplin serta etika pemain sentiasa berada pada tahap terbaik.
"Kalau pemain salah guna media sosial, denda RM40,000. Ini termasuk dalam kontrak mereka. Kalau lewat ke sesi latihan, denda RM15,000, tiada istilah 'main-main' di JDT.
"Isteri salah guna media sosial yang boleh mencemarkan nama kelab, pemain juga boleh dikenakan denda. Kalau jurulatih lewat, pengurus akan denda kerana jurulatih kena ada dua jam sebelum latihan.
"Kalau gaji tak cukup, (pemain) berhutang," titah Tunku Ismail dalam rancangan Bola@Mamak pada malam Isnin.
Tunku Mahkota Johor bertitah, antara pemain yang pernah dikenakan denda RM15,000 adalah Akhyar Rashid kerana lambat hadir ke pusat latihan.
Menurut baginda, bukan sahaja pemain, jurulatih juga boleh didenda pihak pengurusan sekiranya lambat hadir ke pusat latihan.
"Pasukan kejurulatihan perlu ada di pusat latihan dua jam lebih awal sebelum sesi latihan bermula," titah baginda.
Tunku Ismail amat menitik beratkan soal disiplin dalam kalangan pemain bagi menjaga etika dan tatatertib mereka dalam dan luar padang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!