Polis bongkar makmal proses dadah, tahan tujuh lelaki

Mustafa (kiri) bersama para pegawainya menunjukkan dadah jenis heroin serta peralatan memproses dadah bernilai RM184,335 ribu yang dirampas dalam serbuan di Bukit Tambun, Nibong Tebal, Jumaat lepas ketika mengadakan sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan pada Selasa. - Foto Bernama
Mustafa (kiri) bersama para pegawainya menunjukkan dadah jenis heroin serta peralatan memproses dadah bernilai RM184,335 ribu yang dirampas dalam serbuan di Bukit Tambun, Nibong Tebal, Jumaat lepas ketika mengadakan sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

NIBONG TEBAL - Polis membongkar makmal memproses dadah di sebuah kondominium mewah di Bukit Tambun, Simpang Ampat dan menahan tujuh lelaki bersama dadah pelbagai jenis bernilai RM184,335 dalam siri serbuan sekitar Nibong Tebal, di sini Jumaat lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang, Asisten Komisioner Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, pihaknya menyerbu kondominium itu pada jam 7.30 malam sebelum menahan dua lelaki berusia 39 dan 51 tahun, hasil maklumat dan risikan dijalankan polis sejak dua minggu lepas.

"Semasa serbuan itu, dua lelaki tersebut sedang leka memproses dadah dan tidak sempat melarikan diri. Polis kemudian merampas 13.6 kilogram (kg) heroin serta 7 kg serbuk kafein yang kesemuanya bernilai RM184,335, turut dirampas peralatan memproses dadah serta cecair kimia," katanya pada sidang akhbar di sini pada Selasa.

Katanya, susulan penahanan dua lelaki itu, polis menyerbu tiga lagi lokasi di sekitar Seberang Perai Selatan (SPS) dan menahan lima lagi lelaki berusia lingkungan 21 hingga 50 tahun dipercayai ahli sindiket memproses dan mengedar dadah tersebut.

Mustafa berkata, polis turut menahan ketua sindiket iaitu lelaki berusia 34 tahun di sebuah kedai menjual gas memasak/gas petroleum cecair (LPG) dan dipercayai berselindung di sebalik perniagaan itu bagi mengaburi pihak berkuasa kehidupan mewahnya hasil kegiatan memproses dan mengedar dadah.

Katanya, siasatan awal mendapati sindiket itu aktif sejak tiga bulan lepas dengan menyewa kondominium mewah tersebut pada kadar RM1,800 sebulan hanya untuk dijadikan makmal memproses heroin.

"Sindiket itu mendapatkan bekalan dadah daripada rangkaian mereka sebelum memprosesnya menjadikan heroin dan dipasarkan sekitar negeri-negeri di utara. Dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh 67,900 penagih," katanya.

Beliau berkata, polis turut menyita enam kereta mewah antaranya dua BMW, sebuah Mercedes Benz dan Nissan Sentra serta barang kemas dan wang dalam akaun mereka yang kesemuanya bernilai RM266,000.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, semua yang ditahan positif dadah dan mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah, kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!