Budak 3 tahun tak takut berkhatan
Walaupun paling muda, Muhamad Isyraf yang ditemani ibu dan bapanya, tidak kelihatan gementar sedangkan ada kanak-kanak lain menangis ketika menunggu giliran dikhatankan.
Dia antara 80 kanak-kanak lelaki yang menyertai program Khatan Beramai-ramai di KPJ Pahang Specialist Hospital di sini, bermula jam 9.30 pagi tadi.
Ayahnya, Fariduddin Pauzee,34, berkata anaknya begitu tenang dan sangat teruja bila keluar rumah untuk ke hospital bagi dikhatankan pagi ini.
Menurutnya, dia dan isterinya, Nurul Akma Jamil, 33, memutuskan untuk mengkhatankan Muhammad Isyraf Haziq bersama abangnya, Muhamad Irfan Qaireen, 7, menerusi program itu yang menawarkan bayaran hanya RM50 setiap seorang.
"Dia juga seronok apabila dimandikan dengan air bomba dan berjumpa ramai kawan-kawan.
"Semasa kecil anak-anak mudah dikhatankan sekarang kerana bila sudah besar mungkin ada perasan takut pada dirinya, bila kecil mudah sikit kerana dia tidak tahu lagi erti takut.
"Bagi saya tiada masalah mengkhatankan anak ketika berusia 3 tahun kerana teknologi sudah moden dan ada bius yang ada di samping juga dikendalikan oleh doktor pakar di hospital ini," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Majlis khatan beramai-ramai itu disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang turut mengumumkan peruntukan khas bagi menampung 50 peratus daripada jumlah perlu dibayar peserta.
Turut hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar KPJ Pahang, Yasser Arafat Ishak
Program khatan beramai-ramai itu disertai kanak-kanak berusia 3 hingga 12 tahun dan dikendalikan 10 doktor pakar termasuk pembantu perubatan serta 100 pekerja Hospital Pakar KPJ Pahang
Sementara itu, Wan Rosdy turut memuji inisiatif Hospital Pakar KPJ Pahang yang melaksanakan program itu dengan kadar yang berpatutan selaras dengan tanggungjawab sosial korporatnya.
"Mereka memberikan diskaun 75 peratus kepada kanak-kanak yang menyertai program berkhatan itu, ia satu tanggungjawab sosial korporat baik daripada pihak hospital yang amat dialu-alukan Kerajaan Pahang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!