Pengusaha pusat tuisyen lega boleh beroperasi semula

Mohd Badrul membersihkan pusat tuisyennya.
Mohd Badrul membersihkan pusat tuisyennya.
A
A
A

SEREMBAN - Pengusaha pusat tuisyen kini boleh menarik nafas lega apabila kerajaan membenarkan operasinya bermula 3 Oktober ini.

Pengusaha Pusat Tuisyen Impian Bonda (PTIB) dan Impak Bonda, Taman Seri Pulai 3, Mohd Badrul Azhar Zulkapli melahirkan rasa syukur yang teramat sangat apabila berita gembira ini diumumkan Menteri Pendidikan, Datuk Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dua hari lalu.

Katanya, meskipun pusat tuisyennya terkesan sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) lalu, namun semua itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus berkhidmat dan berbakti sebagai pendidik.

"Sepanjang tempoh PKP dilaksanakan, banyak urusan pembelajaran tidak dapat dilakukan secara bersemuka, malah pusat tuisyen juga terpaksa ditutup.

"Selepas ini bolehlah saya berjumpa dengan pelajar-pelajar tuisyen saya, masing-masing sudah rindu untuk belajar dalam kelas.

"Tekanan belajar dalam talian berbeza dengan bersemuka, jadi lepas ini anak-anak murid boleh kembali belajar dengan lebih fokus," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Pusat Tuisyen Impian Bonda bersedia untuk menerima pelajar mereka Oktober ini.
Pusat Tuisyen Impian Bonda bersedia untuk menerima pelajar mereka Oktober ini.

Tambah guru bahasa Melayu ini, soal keuntungan bukanlah agenda utama, sebaliknya masa depan pelajar merupakan perkara yang paling membimbangkan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, suasana pembelajaran yang kondusif dan selesa sangat membantu menaikkan semangat mereka untuk belajar.

"Disebabkan Negeri Sembilan kini sudah memasuki Fasa 3, jadi kita akan sama-sama membantu memulihkan semula semangat pelajar, terutama mereka yang akan mengambil peperiksaan pada tahun ini, untuk kembali belajar dengan suasana baharu dan segar, bukan lagi dalam talian," katanya.

Ahad lalu, kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia mengumumkan, semua institusi pendidikan swasta seperti pusat bahasa, pusat kemahiran, pusat latihan, pusat tuisyen dan pusat perkembangan minda dibenarkan beroperasi bermula pada Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menurut Menteri Pendidikan, institusi pendidikan swasta hanya dibenarkan beroperasi secara pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) pada Fasa 1, kecuali pusat perkembangan minda bagi kanak-kanak berumur antara empat hingga enam tahun, anak-anak petugas barisan hadapan dan bekerja dalam perkhidmatan perlu yang bertugas.

Bagi Fasa 3, pusat perkembangan minda bagi kanak-kanak berusia empat hingga enam tahun dibenarkan beroperasi sepenuhnya, manakala semua institusi pendidikan swasta beroperasi secara penggiliran dengan 50 peratus kapasiti kelas.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!