Ulama terkenal Kedah meninggal dunia
ALOR SETAR - Tokoh ulama terkenal Kedah, Datuk Ahmad Muhammad Nor atau lebih dikenali sebagai Tok Guru Pak Teh Mad meninggal dunia di Hospital Kuala Nerang, Padang Terap di sini pada Rabu.
Cucunya, Mariam Abdul Ghani menerusi satu hantaran di laman sosial Facebook pada pagi Rabu mengesahkan pemergian Allahyarham di sisi doktor yang merawatnya pada jam 12.57 pagi.
“Tok Ayah saya, Tuan Guru Haji Ahmad (Pak Teh Mad) menghembuskan nafas terakhir pada jam 12.57 pagi pada 15 September bersamaan 8 Safar 1443H di Hospital Kuala Nerang di sisi Dr Bukhari yang merawat serta mengajar kalimah syahadah,” katanya.
Pada 10 September lalu, Pak Teh Mad dimasukkan ke hospital tersebut berikutan tahap kesihatannya merosot dan mengalami kekurangan oksigen selama beberapa hari.
Difahamkan, jenazah Allahyarham akan diuruskan mengikut prosedur operasi standard (SOP) oleh pihak hospital dan akan dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Masjid Padang Gelanggang, Kuala Nerang untuk urusan pengebumian.
Pak Teh Mad, 96, yang dilahirkan pada 14 Mac 1925 di Kampung Bukit Sebelah, Padang Gelanggang, Padang Terap merupakan pengasas Madrasah Ahmadiah yang merupakan antara pusat pengajian agama tersohor di Kedah.
Allahyarham mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Padang Terap sebelum meneruskan pengajian di Madrasah Sa’adah Ad-Daroin, Merbok, Bedong, diikuti Pondok Gajah Mati, Pendang sebelum ke Makkah dengan memasuki Madrasah al-Salutiyah.
Antara gurunya ialah Tuan Guru Abdul Rahman Merbok (Pondok Merbok), Tok Mogoi (Pondok Mogoi), Tuan Guru Pak Chu Him iaitu ayah mertuanya (Pondok Gajah Mati) dan Pak Da Eil Mekah.
Pak Teh Mad kemudian kembali ke tanah air dan mengasaskan sekolah pondok di Padang Terap pada tahun 1961 di tanah seluas lebih 2.3 hektar yang mana kini berkembang maju.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!