Pesara guru dikhuatiri hilang

Mangsa hilang sejak kelmarin.
Mangsa hilang sejak kelmarin.
A
A
A

BALIK PULAU - Seorang pesara guru dikhuatiri hilang apabila tidak pulang ke rumah selepas keluar dari rumahnya seorang diri di Hilir Sungai Burung di sini sejak jam 7 petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan berkata, Yahaya Mohamed, 80 didapati tidak pulang setelah keluar dari rumahnya dengan memandu sebuah Perodua Kancil berwarna perak dan bernombor plat PFG 9937.

Menurutnya, perkara itu disedari anak perempuannya yang telah membuat laporan polis pada jam 1.13 pagi semalam.

"Dari keterangan anak mangsa, bapanya memakai baju kemeja dan seluar slack namun tidak pasti warnanya. Mangsa ada memberitahu bahawa dia mahu menghantar lebihan nasi untuk dijadikan makanan ayam di rumah seorang wanita yang dikenali dengan panggilan 'kak teh' di Kampung Terang di sini.

"Anak mangsa telah ke rumah wanita berkenaan namun diberitahu bahawa mangsa tidak datang ke situ. Anaknya bimbang kerana sudah dua hari tidak pulang selain keadaan fizikal dan penglihatannya agak kabur," katanya ketika dihubungi tadi.

Tambahnya, mangsa juga mempunyai penyakit lupa yang mana kadang-kadang tidak tahu jalan pulang.

"Mangsa percaya bapanya tidak pergi jauh memandangkan kereta yang digunakan agak uzur. Anaknya juga menyatakan mangsa mempunyai penyakit lupa dan hanya bergantung kepada ibunya (isteri mangsa) sebagai penunjuk arah.

"Usaha mencari dan mengesan mangsa masih dijalankan. Jika orang awam mempunyai atau terserempak dengan mangsa, diminta menyalurkan maklumat di balai polis terdekat atau inspektor penyiasat di talian 0174174173 atau 0124791430," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!