'Seperti bau gas yang sangat tajam'
JOHOR BAHRU - "Bau busuk sangat kuat seperti bau gas yang sangat tajam," kata Yahya Md Nasir, 56, penduduk Kampung Sri Aman Seelong di sini berhubung bau busuk disyaki bahan kimia dari sungai berhampiran.
Yahya berkata, ketika kejadian pada jam 10.30 malam Selasa, dia sedang tidur dan dikejutkan oleh jirannya melalui panggilan telefon memberitahu terdapat bau busuk yang memualkan di sekeliling kawasan rumah.
"Saya terus membuka pintu dan terhidu bau busuk yang cukup kuat seperti bau gas. Memang memeritkan hidung sampai ke tekak. Saya terus pening kepala dan ambil kain untuk menutup hidung.
"Saya tidak tahan dan ambil keputusan untuk berpindah ke rumah kakak saya di Larkin. Mujur ketika kejadian saya seorang saja di rumah," katanya ketika ditemui di sini pada Rabu.
Menurut Yahya yang merupakan kontraktor rumah, empat pekerjanya yang tinggal berhampiran di rumahnya itu juga mengadu mengenai bau busuk dari tali air berhampiran.
"Dalam tempoh sebulan dua, kawasan ini hujan. Pekerja saya ada mengadu mengenai bau busuk, namun keadaannya tidak teruk. Tapi kemuncaknya pada malam tadi apabila baunya sangat teruk sehingga ada penduduk yang pengsan," jelasnya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, dua penduduk kampung berkenaan pengsan, manakala beberapa penduduk terpaksa dipindahkan akibat terhidu bau busuk disyaki bahan kimia daripada sungai berhampiran.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam Selasa itu, dua wanita masing-masing berusia 20-an dan 40-an dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI) bagi mendapatkan rawatan kecemasan.
Sehubungan itu, arahan pengosongan kampung tersebut dibuat dengan 102 penduduk dipindahkan sementara ke Balai Raya Kampung Sinaran Baru.
Sementara itu, tinjauan di Kampung Baru Sri Aman mendapati hampir 40 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berada di lokasi kejadian dan membuka sebuah bilik gerakan.
Orang awam termasuk penduduk turut dilarang memasuki kawasan lokasi kejadian dengan pita keselamatan turut dipasang di kawasan berhampiran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!