Agong zahir harapan MoU akhiri kemelut politik
KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa syukur dan sukacita dengan pendekatan bersejarah kerjasama rentas parti yang dimeterai melalui Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin menerusi kenyataan pada Rabu berkata, Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan bahawa dengan termeterainya MoU Transformasi dan Kestabilan Politik itu, kemelut politik dapat diakhiri dengan segera.
Menurutnya, Al-Sultan Abdullah juga berharap Ahli-ahli Dewan Rakyat dapat mengenepikan agenda politik dengan bersatu hati serta bersepakat berusaha menangani pandemik Covid-19 demi kepentingan rakyat dan negara.
"Seri Paduka Baginda mengulangi pandangan bahawa rakyat tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan pada ketika negara bergelut menghadapi isu kesihatan dan kelembapan ekonomi akibat pandemik Covid-19.
"Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa ia juga selaras dengan pendirian raja-raja Melayu akan pentingnya pembentukan kerajaan yang stabil dan berfungsi dengan cekap serta berhemah dalam keadaan negara menghadapi pelbagai krisis," katanya.
MoU Transformasi dan Kestabilan Politik ditandatangani kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) pada Isnin lalu sekali gus melakar sejarah buat negara.
Memorandum itu bertujuan mengembalikan kestabilan politik demi menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara melalui pendekatan kerjasama secara dwipartisan selaras titah Yang di-Pertuan Agong.
Berikutan itu, Ahmad Fadil menegaskan, Seri Paduka Baginda menasihati Ahli-ahli Dewan Rakyat supaya memberikan keutamaan kepada kemaslahatan rakyat dan kesejahteraan negara pada sesi sidang Parlimen yang kini sedang berlangsung.
Menurutnya, Seri Paduka Baginda turut menasihati Ahli-ahli Dewan Rakyat supaya mengembalikan fokus kepada usaha memerangi pandemik Covid-19 serta membawa kembali sinar kepada rakyat dan negara.
"Seri Paduka Baginda menzahirkan keyakinan bahawa selari dengan kestabilan politik dan peningkatan kadar vaksinasi penduduk serta bantuan tambahan oleh kerajaan, proses pemulihan ekonomi negara dapat dipercepatkan.
"Bahkan, faktor-faktor tersebut juga adalah kunci kepada keyakinan semua pihak berkaitan dan para pelabur," katanya.
Justeru itu, beliau berkata, Al-Sultan Abdullah turut menegaskan bahawa kerajaan perlu mempercepatkan penggubalan dasar-dasar yang mesra perniagaan dan pelaburan bagi meningkatkan lagi daya saing negara.
Dalam pada itu, katanya, Seri Paduka Baginda menyeru seluruh rakyat menzahirkan solidariti dan sokongan padu kepada petugas barisan hadapan dengan bersama berganding bahu berdisiplin mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta semua perintah yang ditetapkan kerajaan.
"Al-Sultan Abdullah turut menyeru seluruh rakyat agar bertenang dan bersama Seri Paduka Baginda mendoakan agar negara sentiasa berada di bawah lindungan ALLAH SWT, dijauhi dari sebarang musibah dan wabak Covid-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!