Lapan anak syarikat kerajaan negeri bakal ditutup tahun ini

Ahmad Samsuri
Ahmad Samsuri
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Sebanyak lapan anak syarikat milik kerajaan negeri yang mengalami kerugian berkemungkinan akan dijual serta ditutup pada tahun ini setelah didapati tidak aktif sejak 2011 hingga 2016.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, secara umumnya syarikat yang mengalami proses penutupan tersebut mempunyai pelbagai justifikasi tertentu.

"Sebagai contoh yang boleh dijelaskan, TI Offshore Service Sdn Bhd yang berstatus domain sejak 2016 namun tidak menjalankan sebarang aktiviti.

"Selain itu, syarikat Suterasemai Sdn Bhd yang berstatus domain sejak 2011 namun sudah tidak beroperasi tetapi kos pentadbiran masih terpaksa ditanggung kerajaan negeri pada setiap tahun.

"Malah syarikat Terengganu Marine Works Sdn Bhd yang diambil alih daripada GLC Terengganu sejak 2014 juga tidak beroperasi," katanya ketika menjawab soalan lisan dikemukakan Datuk Sabri Mohd Noor (BN-Langkap) pada Mesyuarat Pertama Penggal ke-4 Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 pada Rabu.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata, syarikat lain yang turut ditutup ialah TI Merchandise Sdn Bhd selepas sudah tidak beroperasi sejak mula ditubuhkan pada 2014 sebelum diaktifkan semula pada 2018 sebagai syarikat menjual cenderamata tetapi dihentikan pada 2019 bagi mengatasi masalah persaingan dengan peniaga tempatan.

"Lain-lain syarikat lagi di mana semuanya adalah berkait dengan tidak beroperasi, berstatus domain dan tidak mempunyai pekerja dalam syarikat itu," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!