HRPZ II perlukan peralatan bantuan pernafasan
KOTA BHARU - Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) memerlukan lebih banyak peralatan bantuan pernafasan jenis High Flow Nasal Cannula dalam usaha merawat pesakit yang dijangkiti Covid-19.
Pengarah HRPZ II, Datuk Dr Selasawati Ghazali berkata, peralatan itu disifatkan sebagai kritikal kerana ia digunakan untuk pesakit Covid-19 yang sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU).
"Selain itu, peralatan ini (High Flow Nasal Cannula) turut digunakan untuk pesakit Covid-19 yang berada dalam kategori tahap empat," katanya kepada pemberita semasa menerima sumbangan 14 unit ‘oxygen concentrator' daripada Firma Guaman Afiq & Co yang diwakili oleh Afiq Farhan Mohd Hanifa di HPRZ II di sini pada Rabu.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Husin.
Mengulas mengenai sumbangan itu, Dr Zaini berkata, mesin bantuan pernafasan tersebut akan diagihkan kepada beberapa hospital yang terdapat di negeri ini melibatkan HRPZ II, Tumpat, Kuala Krai dan Gua Musang bagi merawat pesakit-pesakit Covid-19.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!