Tukang bot ditemui lemas
KUALA NERUS - Seorang tukang bot ditemukan lemas selepas hilang semasa proses menurunkan bot yang siap dibaiki ke sungai di Pulau Ketam, di sini, pada Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, mangsa Izman Mohamed, 44, dikatakan sedang menurunkan bot yang siap dibaiki untuk diletakkan di jeti berhampiran bersama empat individu termasuk anak lelakinya.
Difahamkan, kehilangan mangsa hanya disedari anaknya sejurus selesai proses menurunkan bot terbabit lalu mereka terus melakukan pencarian sebelum mayat mangsa ditemukan di dasar sungai, kira-kira jam 8 pagi.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan penemuan mayat terbabit.
Beliau berkata, mayat mangsa seterusnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nurzahirah (HSNZ), Kuala Terengganu untuk tindakan selanjutnya.
"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!