KPKT perkenal Rumah Ikram untuk mereka terkesan pandemik Covid-19

Reezal Merican
Reezal Merican
A
A
A

BANGI - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperkenalkan program Inisiatif Kediaman Rumah Keluarga Malaysia atau Rumah Ikram KPKT untuk rakyat Malaysia yang terkesan akibat pandemik Covid-19, dengan menawarkan kadar sewa minimum RM124 sebulan bagi tempoh mendiami maksimum dua tahun.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, inisiatif bersifat penampan (cushion) itu dikhususkan untuk keluarga yang terkesan akibat pandemik Covid-19 seperti kehilangan pendapatan, kekurangan pendapatan, kehilangan pekerjaan hingga tidak mampu membayar sewa tinggi atau dihalau keluar dari rumah sewa.

Buat permulaan, katanya, sebanyak 1,000 unit Rumah Ikram KPKT ditawarkan di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) sekitar Selangor, Kuala Lumpur, Kedah, Kelantan dan Johor.

Permohonan untuk mendiami Rumah Ikram KPKT telah dibuka di laman web https://teduh.kpkt.gov.my.

"Permohonan akan lebih mudah, anggaran (proses kelulusan) dalam tempoh seminggu sebab kita hendak permudah and syarat juga tidak ketat," katanya dalam sidang media selepas sesi walkabout ke Projek Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia (TPPM) di Pangsapuri Jubli Perak, Bandar Baru Bangi di sini pada Rabu.

Beliau berkata, antara syarat permohonan ialah pemohon dan pasangan adalah warganegara Malaysia; berusia 18 tahun ke atas; tidak memiliki rumah; tempoh sewaan ditamatkan oleh tuan rumah dan pendapatan isi rumah tidak melebihi RM3,000 sebulan.

Sementara itu, Reezal Merican berkata, sebanyak RM3.4 juta daripada TPPM diperuntukkan bagi tujuan pembaikan, mengindahkan semula dan penyelenggaraan bumbung untuk Pangsapuri Jubli Perak.

Pangsapuri Jubli Perak mempunyai 13 blok serta menempatkan 900 unit rumah. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!