Kerajaan perlu kaji secara logik isu food truck
Kerajaan diminta mengkaji sedalam-dalamnya unsur logik dalam garis panduan food truck yang dikuatkuasakan.
Pengerusi Koperasi Komuniti Food truck Malaysia Berhad, Mohamed Shaharini Abd Ghani berkata, beliau yang terlibat memberikan input penyediaan garis panduan itu mendedahkan, ada beberapa perkara dalam garis panduan tersebut dilihat tidak sesuai dan perlu kajian khusus oleh pihak terlibat dalam usaha memudahkan pemilik food truck.
"Garis panduan itu diharap tidak membebankan peniaga food truck bagi memastikan perkembangan trend perniagaan itu positif. Ia perlu logik dan tidak melibatkan kos tinggi. Jika garis panduan itu nanti menyukarkan pemilik food truck, tidak hairan jika matlamat kerajaan untuk mentranformasikan peniagaan tepi jalan terbantut.
“Contohnya isu pemadam api dalam food truck. Kita memang boleh sediakan pemadam api dalam food truck tetapi jika nak disertakan sekali dengan sijil bomba, ia mungkin menyusahkan peniaga sebab melibatkan masa.
"Mereka kena faham food truck berniaga setiap hari. Begitu juga dari segi keselamatan susun atur tong gas. Memang jarak diperlukan untuk meletakkan tong gas tetapi garis panduan itu biar logik kerana ruang dalam food truck itu cuma kecil,” katanya.
Bagaimanapun, kata Mohamed Shaharini, dia tidak boleh mendedahkan lebih banyak kandungan dalam garis panduan tersebut kerana masih ada beberapa perkara dalam proses perbincangan.
Pada masa sama, kata Mohamed Shaharini, pemilik food truck juga sudah semestinya mengharapkan garis panduan itu tidak melibatkan kos tinggi untuk peniaga melakukan pengubahsuaian.
"Kita tahu kos untuk food truck itu sudah cukup besar sehingga mencecah RM100,000. Mana mereka nak cari duit untuk menampung kos pengubahsuaian lain.
“Cuma, harapan saya kerajaan perlu teliti elok-elok perkara ini (garis panduan) dan dalam masa sama kerajaan perlu faham masalah dihadapi pemilik food truck sekiranya garis panduan membebankan dikenakan,” pintanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Pengusaha food truck abai keselamatan pengguna?
ARTIKEL BERKAITAN: Kelab food truck sedia jumpa bomba
ARTIKEL BERKAITAN: Jangan bebankan pengusaha food truck
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!