MSM unjur permintaan gula naik pada separuh kedua 2021
KUALA LUMPUR - MSM Malaysia Holdings Bhd (MSM) menjangka permintaan gula meningkat secara beransur-ansur naik antara lima hingga 10 peratus pada separuh kedua tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Syed Feizal Syed Mohammad berkata, permintaan meningkat sekitar lima hingga 10 peratus pada tempoh tersebut dengan pembukaan lebih banyak industri.
"Sebelum ini, pasaran Malaysia menggunakan 1.5 juta tan metrik gula tetapi akibat pandemik Covid-19, penggunaannya merosot daripada 1.2 juta kepada 1.3 juta tan metrik.
"Saya berpendapat permintaan gula akan bertambah baik tahun depan dan MSM berharap Malaysia akan mencapai kadar penggunaan sebelumnya sebanyak 1.5 juta tahun depan," katanya semasa sidang akhbar secara maya sempena mesyuarat agung luar biasa (EGM) MSM pada Rabu.
Pada EGM itu, pemegang saham meluluskan cadangan penjualan syarikat milik penuhnya MSM Perlis Sdn Bhd kepada FGV Integrated Farming Holdings Sdn Bhd dengan pertimbangan tunai awal sebanyak RM175 juta, tertakluk kepada pelarasan modal kerja bersih dan hutang bersih selepas selesai penjualan tersebut.
Mengenai gula mentah, Syed Feizal berkata, harganya telah melonjak disebabkan faktor berkaitan cuaca di negara-negara pengeluar utama dengan niaga hadapan gula putih Nombor 11 Bursa Saham New York, Amerika Syarikat ketika ini berada antara 19 sen dan 19.5 sen.
"Brazil sebelum ini menghadapi kerosakan tanaman akibat kemarau.
"Sebilangan besarnya akan terjejas, sudah pasti berlaku kekurangan bekalan gula di pasaran,” katanya.
Bagaimanapun, Syed Feizal menjangkakan bekalan gula Brazil kembali pulih sepenuhnya dalam tempoh 12 hingga 18 bulan akan datang.
Selain itu, katanya, Thailand juga menghadapi kemarau dan hujan sejak dua tahun lepas.
Thailand dalam proses pemulihan, kenaikan antara satu dan dua juta tan metrik setiap tahun dan akan mencapai jumlah eksport kira-kira 14 hingga 15 juta tan metrik.
"Kami akan melihat kenaikkan harga gula mentah yang berterusan, tetapi menjelang akhir tahun 2022, kami dapat melihat harga kembali ke tahap minimum.
"Harga gula akan kembali pada paras normal pada akhir tahun 2022,” katanya.
Ditanya mengenai rancangan kerajaan untuk meningkatkan jenis minuman manis yang akan dikenakan cukai gula, beliau berkata, MSM tidak akan terjejas teruk dengan kenaikan tersebut.
Syed Feizal berkata, cukai gula boleh dikenakan terhadap minuman dan makanan murah, pangkalan pelanggan MSM berjumlah kurang daripada 12 peratus dalam segmen tersebut.
Beliau berkata, dengan perkembangan positif semasa, MSM berada di landasan yang betul untuk mencapai pemulihan tahun ini.
"MSM Sugar Refinery (Johor) Sdn Bhd juga dijangka kembali mencatatkan keuntungan pada tahun 2022, dengan syarat kapasitinya mencapai 50 peratus pada akhir tahun ini," katanya.
Mengenai prospek eksport MSM, Syed Feizal berkata, kumpulan itu telah mendapat pesanan sebanyak 306,000 tan metrik, menghantar sebanyak 144,000 tan metrik kepada pelanggannya dan bakinya dijangka akan dihantar pada akhir tahun ini.
Tahun depan, MSM menjangkakan akan naik sedikit melebihi 450,000 tan metrik.
“MSM akan terus menilai aset bukan teras untuk diljual.
"MSM memiliki sebidang tanah industri dan jika tiada keperluan strategik untuknya kami akan menjualnya apabila pasaran berada dalam keadaan baik,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!