Gelembung pelancongan Langkawi: Nancy ingatkan pelancong agar patuh SOP
KUALA LUMPUR - Berbaki kurang 24 jam menjelang pembukaan semula Pulau Langkawi di bawah inisiatif gelembung pelancongan domestik pada Khamis, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berharap program itu dapat berjalan dengan lancar serta selamat.
Nancy yang tiba di Langkawi petang Rabu turut berharap inisiatif itu mampu memberi sinar buat penggiat industri pelancongan agar mereka kembali bernafas dan bangkit semula setelah sekian lama terjejas akibat pandemik Covid-19 selain meminta pelancong sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
“Pastikan gelembung pelancongan Langkawi ini kekal hijau agar kita dapat realisasikan perancangan lebih banyak gelembung pelancongan domestik di masa akan datang,” menurutnya dalam hantaran di laman Facebook.
Menerusi perkongsian berasingan, Nancy berkata, beliau berpuas hati mendengar taklimat mengenai pelaksanaan Sistem TracAPM ke atas pelancong yang tiba di Langkawi pada Khamis bagi mengurangkan sentuhan dan menghentikan pengoperasian secara manual dalam proses pengurusan gelembung pelancongan.
“Sistem ini akan membantu kementerian dengan aliran kerja menyeluruh pemantauan pergerakan pelawat dari masa ketibaan sehinggalah ke tempat penginapan atau stesen kuarantin dan daftar keluar dari tempat penginapan atau stesen kuarantin,” katanya.
Beliau berkata, seramai 24 ahli Persatuan Pemuzik dan Buskers yang menaiki bas dari ibu negara tiba di Langkawi pada Rabu seawal jam 4 pagi bagi memeriahkan pembukaan pada Khamis dengan mereka dibenar membuat persembahan di sembilan lokasi utama di pulau itu, antaranya Dataran Lang.
“Saya berharap usaha ini dapat memberi peluang kepada penggiat seni muzik memperoleh semula sumber pendapatan bagi kelangsungan hidup mereka setelah sekian lama tidak dapat menjalankan persembahan di tempat awam,” katanya.
Pada Khamis, Nancy dijadual menyambut ketibaan penerbangan pertama pesawat yang membawa pelancong ke pulau legenda itu pada jam 10.45 pagi sebelum menyambut pelancong yang menaiki feri serta meninjau pematuhan SOP bersama Persatuan Hotel Malaysia dan Langkawi Skybridge Cable Car.
Lembaga Pembangunan Langkawi menjangkakan sekitar 400,000 pelancong mengunjungi Langkawi dalam tempoh kira-kira tiga setengah bulan bermula dari pembukaan semula pulau peranginan itu pada Khamis hingga Disember ini dengan hasil sekitar RM165 juta.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakat sebelum ini memaklumkan setiap pelancong yang ingin bercuti di Langkawi diwajibkan menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum memulakan perjalanan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!