Tempahan hotel dijangka meningkat selepas PKPD Kuala Kedah berakhir

Kakitangan Hotel Adya, Kuah melakukan proses sanitasi dan persiapan sempena pembukaan Gelembung Pelancongan Langkawi mulai esok. -Foto Bernama
Kakitangan Hotel Adya, Kuah melakukan proses sanitasi dan persiapan sempena pembukaan Gelembung Pelancongan Langkawi mulai esok. -Foto Bernama
A
A
A

LANGKAWI - Tempahan hotel dan penginapan di Langkawi khususnya yang bertaraf empat bintang dan ke bawah dijangka meningkat apabila Terminal Jeti Kuala Kedah beroperasi semula Isnin ini.

Naib Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Kedah/Perlis, Razmi Rahmat berkata, ketika ini, tempahan hotel dan penginapan bagi kategori itu adalah sekitar 30 peratus susulan pembukaan semula industri pelancongan di pulau tersebut di bawah projek rintis gelembung pelancongan mulai Khamis.

"Rekod semasa menunjukkan kadar tempahan hotel bertaraf lima bintang telah mencecah 80 peratus manakala bagi empat bintang dan ke bawah sekitar 30 peratus.

"Tempahan hotel lima bintang tinggi kerana menjadi pilihan pelancong berkemampuan yang menjadikan Langkawi sebagai pilihan selepas tidak dapat melancong ke luar negara," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Rabu.

Beliau berkata, Terminal Jeti Kuala Kedah, yang kini tidak beroperasi kerana berada dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), kebiasaannya menjadi pilihan utama pelancong untuk ke Langkawi terutama bagi mereka dari luar Kedah.

PKPD Kuala Kedah yang bermula 6 September lepas, dijadual berakhir pada Ahad ini.

Mengulas persediaan hotel di bawah MAH bagi menyambut ketibaan pelancong mulai pada Khamis, Razmi berkata, pihak pengurusan telah bersiap siaga dan semua fasiliti serta bilik penginapan sudah disanitasi mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Semua hotel tidak bertolak ansur dengan SOP termasuk mewajibkan pengunjung mengimbas aplikasi MySejahtera dan menggunakan cecair pembasmi kuman.

Artikel Berkaitan:

“Semua hotel juga hanya menerima pengunjung yang lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19," katanya.

Beliau berkata, kakitangan pembersihan juga akan mensanitasi bilik penginapan sebaik sahaja pelancong mendaftar keluar dan sebelum pengunjung baharu mendaftar masuk. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!