Permuafakatan diketengahkan PH berjaya angkat martabat Parlimen
SHAH ALAM - Permuafakatan yang diketengahkan oleh Pakatan Harapan (PH) melibatkan beberapa aspek transformasi berjaya mengangkat semula martabat Parlimen sebagai medan utama bagi mewakili rakyat di negara ini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Parlimen kini juga boleh berfungsi dengan lebih berkesan dan berwibawa sekali gus mengakhiri dominasi pihak tertentu bagi digantikan dengan kerjasama pelbagai koalisi serta parti.
Begitupun katanya, permuafakatan yang terjalin ini bukannya bermaksud satu gencatan politik memandangkan fungsi pembangkang bukan sahaja sebagai semak dan imbang namun turut perlu menganggotai proses transformasi sistem supaya aspek kepentingan rakyat terjamin.
"Perkara ini sudah pun kita realisasikan di Selangor sejak 2008 apabila Pakatan Rakyat (PR) ketika itu mengambil alih pentadbiran kerajaan di mana ketua pembangkang diberi keistimewaan tertentu.
"Selangor sekali lagi mengorak langkah dengan memberi peruntukan khas kepada kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pembangkang serta menjemput mereka ke dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Keselamatan Selangor (Pengurusan Pandemik) dalam usaha bersama-sama mendepani Covid-19," katanya menerusi Perutusan Hari Malaysia 2021 pada Rabu.
Kerajaan Persekutuan dan PH pada Isnin melakar sejarah negara apabila buat pertama kali menandatangani memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik di Parlimen.
MoU berkenaan yang membentuk satu kerjasama ‘dwipartisan’ dengan menjulang semangat Keluarga Malaysia, mempunyai enam agenda merangkumi pemerkasaan pelan Covid-19, transformasi pentadbiran, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pembentukan jawatankuasa pemandu.
Mengulas lanjut, Amirudin berkata, beberapa inisiatif bagi membantu rakyat yang berjaya dilaksanakan oleh PH sebelum ini akan turut diangkat ke peringkat kerajaan Persekutuan menerusi persefahaman itu.
"Beberapa lagi aspek kerjasama perlu dilakukan supaya prinsip federalisme dapat benar-benar direalisasikan termasuk melibatkan peruntukan sejajar dengan peranan, fungsi, kedudukan serta sumbangan sesebuah negeri kepada ekonomi negara," katanya.
Dalam perkembangan berlainan, Amirudin memaklumkan sekitar 7.932 juta dos vaksin Covid-19 telah diberikan di Selangor sekali gus melindungi 3.813 juta individu lengkap mendapatkan dua dos suntikan suntikan berkenaan.
Beliau berkata, Selangor juga telah diberi beberapa kelonggaran susulan peralihan ke fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan perkembangan ini sedikit sebanyak telah memberikan kelegaan buat setiap pihak yang terpaksa duduk di rumah sejak Mei lalu.
"Keadaan ini juga pasti menggembirakan ramai pihak serta memberi ruang buat masyarakat untuk mendalami makna dan kepentingan Hari Malaysia," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!