10 hingga 20 peratus rakyat Thailand menderita ‘Long Covid’

Sekitar 10 hingga 20 peratus rakyat Thailand yang pulih daripada Covid-19 masih mengalami sindrom post Covid atau ‘Long Covid’. - Foto AFP
Sekitar 10 hingga 20 peratus rakyat Thailand yang pulih daripada Covid-19 masih mengalami sindrom post Covid atau ‘Long Covid’. - Foto AFP
A
A
A

BANGKOK - Jabatan Perkhidmatan Perubatan Thailand (DMS) mendapati sekitar 10 hingga 20 peratus rakyat Thailand yang pulih daripada Covid-19 masih mengalami sindrom post Covid atau ‘Long Covid’.

Pengarah Bahagian Berita Jabatan Penerangan Kementerian Luar, Pensom Lertsithichai berkata, gejala ‘Long Covid termasuk kelesuan, sakit otot dan kepala serta kemurungan berikutan tindak balas tubuh atau kesan sampingan daripada ubat-ubatan yang diberikan semasa rawatan.

Beliau berkata, faktor-faktor lain seperti usia, obesiti dan penggunaan steroid harian juga meningkatkan kelaziman gejala ‘Long Covid’.

"Statistik menunjukkan pesakit masih menunjukkan gejala sehingga enam bulan ke setahun, tempoh untuk pulih mungkin berbeza bagi setiap individu.

"Gejalanya dapat diatasi dengan vaksin. Individu yang telah mendapat vaksin Covid-19 kurang berisiko mendapat ‘Long Covid’. Oleh itu, setiap orang harus segera dapatkan vaksin, ” katanya pada taklimat harian Covid-19 di sini hari ini.

‘Long Covid’ kekal sebagai antara satu aspek pandemik paling misteri.

Ketua Perubatan Institut Pulmonari DMS Thailand, Dr Piamlap Sangsayan berkata sekitar 40 hingga 50 peratus pesakit Covid-19 di negara lain mengalami ‘Long Covid’.

"Kadar yang rendah dalam kalangan warga Thailand mungkin disebabkan mereka yang mengalami gejala tidak memaklumkan kepada pihak berkuasa kesihatan selepas mereka pulih sepenuhnya," katanya seperti dipetik Bangkok Post.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pensom berkata, Thailand tidak akan menawarkan vaksin Covid-19 percuma kepada pelancong antarabangsa buat masa ini.

"Bekalan vaksin kita terhad. Namun, vaksinasi untuk warga asing yang menetap bagi tempoh jangka panjang di Thailand masih diteruskan,” katanya.

Dalam tempoh 24 jam lalu, Thailand mencatat 13,798 kes baharu Covid-19 dengan144 kematian, menjadikan jumlah jangkitan dalam negara sebanyak 1,420,340 dan 14,765 kematian, sejak virus itu dikesan Januari tahun lalu. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!