MoU kerajaan dan PH ada nilai positif dan negatif
KOTA BHARU - Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) mempunyai nilai positif dan negatif tersendiri dari segi politik.
Pemerhati politik, Mohd Sayuti Omar berkata, PH dilihat terpaksa mengambil pendekatan itu setelah mereka gagal untuk menjatuhkan kerajaan atau bina semula kerajaan mereka.
“Jadi apabila timbul masalah pandemik Covid-19 dan seruan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah boleh dijadikan alasan munasabah dan lunak untuk ‘mengaku kalah'.
“PH sudah dapat menghidu dalam keadaan sekarang dengan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob jadi perdana menteri, tidak ada sebab untuk mendesak menjatuhkan pemimpin itu, berbanding dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Rabu.
Menurutnya, bagaimanapun, MoU tersebut sebenarnya mempunyai kekeliruan tersendiri dan ada yang menganggap ia tidak menguntungkan kedua-dua pihak sebaliknya ia akan merugikan pembangkang.
Selain itu, katanya, MoU itu juga sebenarnya boleh menyebabkan semangat atau 'mood' pembangkang yang kecewa dengan tindakan merampas kerajaan mereka dahulu kendur untuk kembali berjuang demi rakyat.
“Ada menganggap langkah itu sebagai profesional memandangkan keadaan negara waktu kini. Namun apa pun, kita sebagai rakyat mahu segala yang termaktub dalam MoU itu dilaksanakan sebaik mungkin.
“Saya yakin semangat MoU itu disenangi oleh rakyat yang sudah cemuh dengan persengketaan politik yang berlaku. Jika MoU itu dibuat dengan rasa tulus, ia dapat mencapai maksud untuk mengendurkan ketegangan politik dan tumpukan kepada pandemik dan pemulihan ekonomi rakyat.
“Seharusnya MoU itu fokus kepada kepentingan rakyat, jangan ada muslihat politik di sana. Adalah lebih baik kalau kedua-dua pihak menjadikan MoU itu sebagai asas kepada prinsip dalam berpolitik, yang mana pembangkang dan kerajaan dapat duduk semeja apabila ada keadaan-keadaan genting seperti waktu ini.
“MoU itu boleh dijadikan panduan untuk masa depan juga. Selepas 64 tahun merdeka, landskap dan variasi politik negara ini patut berubah juga,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!