Pencari siput beliung cemas, kaki tiba-tiba kejang di tengah laut

Mangsa terpaksa meminta pertolongan nelayan tempatan dan anggota bomba setelah mengalami kekejangan kaki.
Mangsa terpaksa meminta pertolongan nelayan tempatan dan anggota bomba setelah mengalami kekejangan kaki.
A
A
A

MELAKA - Dua lelaki berdepan detik cemas apabila salah seorang daripada mereka mengalami kekejangan kaki kanan, ketika ketika sedang asyik mencari siput beliung di Pantai Padang Temu, di sini, lewat petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, kedua-dua mereka yang berusia dalam lingkungan 30-an berada kira-kira 100 meter dari daratan, meminta tolong selepas salah seorang daripadanya mengalami kekejangan kaki.

Salah seorang penduduk yang turut menyaksikan kejadian itu, Fakhrul Aimman Abdul Rahim, 16, mendakwa, mereka terpaksa membuang kesemua hasil siput beliung dari kotak polisterin untuk dijadikan pelampung bagi menyelamatkan diri.

"Mereka mula turun ke laut kira-kira jam 5 petang semalam, ketika itu air sudah mulai pasang dan para pencari beliung lain sudah mula naik ke darat.

"Tiba-tiba terdengar suara orang meminta tolong dan mujur ketika itu ada dua nelayan tempatan yang sedang berada di situ segera membawa bot untuk membantu," katanya ketika ditemui di Pantai Padang Temu di sini, hari ini.

Nelayan tempatan Yusri Yaacob, 47, berkata, lelaki terbabit mengalami kekejangan kira-kira jam 6.30 petang sebelum diselamatkan.

"Ketika itu, orang ramai di kawasan ini turut menghubungi bomba bagi mendapatkan bantuan. Bomba datang membantu dari darat, dengan mengambil mangsa yang seorangnya dibawa menaiki bot dan seorang lagi ditarik menggunakan tali," katanya.

Mangsa dibawa naik ke darat oleh anggota bomba dengan bantuan nelayan tempatan.
Mangsa dibawa naik ke darat oleh anggota bomba dengan bantuan nelayan tempatan.

Artikel Berkaitan:

Yusri turut menasihatkan para pencari beliung terutamanya orang luar yang mahu turun ke laut hendaklah tahu selok-belok dan pasang surut air.

"Jangan pakai terjah saja, jaga aspek keselamatan, pakai sarung tangan, sarung kaki atau kasut. Banyak bahaya baik sengat obor-obor mahupun ikan berbisa dalam air dan lumpur.

"Mereka juga sepatutnya bertanyakan penduduk tempatan bila air pasang dan surut, ini tidak, sudah ada yang larang mereka turut tapi mereka tetap turun ketika air pasang," tegasnya.

Nelayan tempatan Yusri Yaacob, 47 (kiri) bersama seorang penduduk, Fakhrul Aimman Abdul Rahim, 16, menunjukkan lokasi kejadian tersebut.
Nelayan tempatan Yusri Yaacob, 47 (kiri) bersama seorang penduduk, Fakhrul Aimman Abdul Rahim, 16, menunjukkan lokasi kejadian tersebut.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Padang Temu Pegawai Bomba Kanan II Adenan Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam jam 6.55 petang dan tiba di lokasi pada jam 7.02 malam, dengan kekuatan satu jentera dan tujuh anggota termasuk seorang pegawai.

"Sebaik kita tiba, kita dapati ada dua mangsa yang sedang diselamatkan nelayan tempatan, seorang daripadanya kekejangan kaki kanan selain kakinya itu tersangkut dalam lumpur.

"Kita lihat, air ketika itu diparas hidung mangsa," kata Adenan, ketika dihubungi Sinar Harian.

Justeru, Adenan menyeru orang awam sentiasa mengutamakan keselamatan selain peka kepada waktu pasang surut air.

Jika air pasang, segera tinggalkan laut kerana dibimbangi berdepan kesukaran kembali ke darat kerana kehabisan tenaga.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!