Kanak-kanak 12 tahun penerima vaksin termuda di Negeri Sembilan
SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Kanak-kanak berusia 12 tahun dari Taman Nusari Bayu, di sini merupakan antara penerima suntikan vaksin Covid-19 yang termuda di Negeri Sembilan.
Sharifah Nur Syasya Syed Saiful selesai menerima suntikan dos pertama Pfizer BioNTech di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (Pembantu Perubatan), di sini pada Rabu.
Ibunya, Nur Hamizah Md Zin, 34, berkata, dia bersyukur apabila anak sulungnya itu menerima vaksin lebih awal berbanding kanak-kanak lain memandangkan dia dikategorikan sebagai golongan berisiko.
"Anak saya menghidap penyakit diabetes tahap satu sejak enam tahun lalu.
"Semalam (Rabu) pihak Hospital Tuanku Jaafar di Seremban memaklumkan nama anak saya disenaraikan sebagai penerima vaksin dan ia melegakan saya," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Menurutnya, anaknya itu bukan sahaja tidak takut untuk menerima suntikan vaksin, tetapi juga sangat bersemangat untuk ke PPV.
Ujarnya, selepas sehari anaknya itu dicucuk vaksin, dia tidak alami sebarang kesan sampingan melainkan hanya alami sengal pada tangan.
"Saya dan suami pun dah cucuk vaksin.
Kami dari awal lagi dah beritahu kepada anak-anak yang ia tidak sakit dan perlu untuk mengurangkan risiko jangkitan.
"Mereka yang ada penyakit juga tak perlu bimbang dan saya nasihatkan cucuklah vaksin," katanya yang mempunyai empat anak berusia 9 bulan hingga 12 tahun.
Selain itu kata Nur Hamizah, pengalaman satu keluarganya dijangkiti Covid-19 juga membuatkan dia merasakan semua orang perlu mengambil vaksin.
"Saya bersyukur dan percaya bahawa vaksin membuatkan jangkitan Covid-19 saya tidak teruk walaupun menghidap darah rendah, saya hanya alami demam biasa dan jalani kuarantin di rumah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!