Sembunyi dalam almari elak dicekup pihak berkuasa

Seorang PATI bersembunyi di dalam almari pakaian sewaktu operasi di sekitar Klang pada malam Rabu - Foto Ihsan Imigresen Selangor
Seorang PATI bersembunyi di dalam almari pakaian sewaktu operasi di sekitar Klang pada malam Rabu - Foto Ihsan Imigresen Selangor
A
A
A

KLANG - Seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) bersembunyi di dalam almari pakaian bagi mengelak dikesan pihak berkuasa dalam satu operasi di beberapa buah kediaman di sini pada malam Rabu.

Pengarah Jabatan Imigresen Selangor (Imigresen), Mohamad Shukri Nawi berkata, semasa serbuan itu, isteri PATI terbabit bersama anak mereka memberi helah kononnya suaminya tidak berada di rumah kerana sedang bekerja di Johor.

Bagaimanapun, katanya, hasil siasatan pihak berkuasa berjaya mengesan lelaki berkenaan dan menahannya untuk tindakan selanjutnya.

"Semasa pemeriksaan, mereka dikesan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal tanpa pas atau permit sah dan Seksyen 15 (1)(c) akta sama iaitu tinggal melebihi tempoh dibenarkan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

PATI yang ditahan dibawa ke Depoh Imigresen Semenyih selepas operasi di sekitar Klang pada malam Rabu. - Foto Ihsan Imigresen Selangor
PATI yang ditahan dibawa ke Depoh Imigresen Semenyih selepas operasi di sekitar Klang pada malam Rabu. - Foto Ihsan Imigresen Selangor

Mohamad Shukri berkata, operasi yang bermula pada jam 11 malam itu turut menahan seramai 22 orang PATI dipercayai melakukan pelbagai kesalahan.

Beliau berkata, semua PATI yang ditahan itu dibawa ke Bahagian Penguatkuasaan, Pejabat Imigresen Selangor bagi siasatan lanjut dan direman di Depoh Imigresen Semenyih selama 14 hari di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63.

"Jabatan (Imigresen) ingin menasihatkan warga asing yang tiada kebenaran sah tinggal di negara ini agar segera menyertai Program Rekalibrasi PATI yang sedang berlangsung sehingga akhir tahun ini," ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!