Warga ATM perlu siap siaga hadapi ancaman keselamatan global
KUALA LUMPUR - Warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) perlu siap siaga dalam menghadapi situasi peningkatan ancaman keselamatan serantau dan global terutamanya strategi peperangan hibrid dengan menguasai dan mendalami aspek 4M, kata Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.
4M berkenaan merangkumi Man, Machine, Method dan Mates.
Beliau berkata, empat aspek penting itu agar tahap kesedaran, kompetensi serta kebersamaan dalam pasukan menjadi lebih kukuh dan utuh.
“Penguasaan ini bagi membolehkan anggota ATM diatur gerak dalam pelbagai tugasan pada bila-bila masa dalam menghadapi apa-apa jua ancaman mendatang dengan lebih efektif dan efisien.
“Sebagai benteng utama pertahanan negara, aspek berkenaan perlu sebagai persediaan bagi cabaran dan ancaman terutamanya dalam menghadapi situasi keselamatan serantau dan global yang tidak menentu serta dibayangi peningkatan ancaman keselamatan bukan tradisional,” katanya dalam perutusan khas sempena Hari ATM ke-88 disambut menerusi rancangan Selamat Pagi Malaysia terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada Khamis.
Affendi berkata, lebih dikhuatiri, ancaman masa kini hadir secara tidak bersemuka atau melalui medium baharu.
Beliau berkata, strategi peperangan Hibrid atau Hybrid Warfare diatur gerak pelbagai anasir dengan memanipulasikan secara aktif kemajuan Revolusi Industri 4.0 terkini sebagai medium serangan mereka.
Sementara itu, beliau berkata, Kementerian Pertahanan dan ATM sedang melihat kaedah penyelesaian secara holistik dan seimbang yang mampu memberi manfaat jangka panjang kepada kelestarian kualiti hidup veteran ATM, sekali gus menaikkan martabat mereka.
“Walaupun Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM dipertanggungjawab untuk memantau dan memelihara kebajikan mereka, namun, perlu diingat bahawa usaha dan insentif yang diberi bukanlah bersifat kekal.
"Ini kerana keberkesanannya banyak bergantung kepada peruntukan yang disalurkan kerajaan selain sumbangan dan ehsan oleh syarikat dan juga orang perseorangan," katanya.
Affendi turut melahirkan kebimbangan anggota tentera yang akan menamatkan perkhidmatan terjerumus ke dalam kumpulan pendapatan isi rumah di bawah paras atau di kategori B40 dalam situasi peningkatan kos sara hidup tinggi ketika ini.
"Ia diburukkan lagi dengan kesukaran mendapatkan pekerjaan baharu akibat isu lambakan tenaga kerja yang semakin meningkat ketika ini," katanya.
Hari ATM yang disambut pada 16 September setiap tahun akan diadakan secara fizikal di Kem Segenting, Port Dickson, Negeri Sembilan pada 22 September ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!