Tahanan Palestin gali terowong sejak Disember tahun lalu
RAMALLAH - Dua dari enam tahanan Palestin yang berjaya meloloskan diri dari sebuah penjara kawalan ketat di Israel dalam bulan ini mula menggali terowong pada bulan Disember tahun lalu.
Maklumat itu didedahkan pada Rabu oleh dua peguam bela yang mewakili dua daripada enam tahanan tersebut yang berjaya ditangkap semula oleh pihak berkuasa rejim Zionis.
Tahanan-tahan Palestin itu ditangkap semula beberapa hari selepas mereka melarikan diri dari penjara tersebut pada 6 September lalu.
Bagaimanapun, sehingga kini hanya empat daripada enam tahanan itu yang berjaya ditangkap semula oleh pihak berkuasa Israel.
Dua tahanan itu, Mahmud Abdullah Ardah dan Yaqub Qadri mendedahkan maklumat tersebut kepada peguam bela masing-masing.
"Mahmud memberitahu saya dia mula menggali terowong pada bulan Disember," kata peguamnya, Roslan Mahajana kepada AFP selepas melawatnya yang kini ditahan Israel.
Sebelum ini Mahmud dikatakan menjadi perancang rancangan untuk meloloskan diri dari jel dengan menggunakan sudu, pinggan dan pemegang cerek untuk menggali terowong dari dalam bilik penjaranya.
"Mahmud (yang ditahan) mula disoal selepas dia dipercayai menjadi perancang dan melaksanakan operasi itu (meloloskan diri)," kata peguamnya itu.
Peguam bela Yaqub, Hanane Khatib turut memberikan maklumat yang sama.
Ketika diwawancara dengan sebuah stesen televisyen Palestin, beliau memberitahu bahawa anak guamnya itu berasa amat gembira kerana dia ditangkap selepas kira- kira lima hari berjaya keluar dari penjara tersebut.
Pada 6 September lalu, enam tahanan Palestin berjaya meloloskan diri dari Penjara Gilboa di utara negara haram Israel dengan menggali terowong di bawah sinki di dalam bilik penjara pada 6 September lalu untuk melarikan diri. - Agensi
ARTIKEL BERKAITAN:Enam tahanan Palestin lolos penjara Israel
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!