Skim i-Survive: Beri kepada yang benar-benar terjejas

Gambar hiasan. (Gambar kecil: Shazali, Barjoyai)
Gambar hiasan. (Gambar kecil: Shazali, Barjoyai)
A
A
A

SHAH ALAM - Skim i-Survive yang dicadangkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak boleh membantu meringankan beban rakyat yang benar-benar terjejas akibat pandemik Covid-19, namun perlu diperhalusi secara mendaalam.

Pakar ekonomi, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, cadangan tersebut perlu dikaji dan disesuaikan terutama untuk individu yang mahu memulakan kehidupan baharu.

“Golongan ini memerlukan modal asas untuk memulakan kehidupan baharu. Jumlah pinjaman yang akan diberikan juga perlu sesuai, tidak seperti bantuan sara hidup.

“Bantuan sara hidup ibarat melepaskan batok di tangga, menunjukkan yang kerajaan ada beri bantuan tapi sebenarnya jumlah terlampau kecil.

"Jadi saya setuju dengan cadangan asas skim i-Survive ini, tapi ia perlu dikaji secara terperinci untuk menjadikannya lebih kukuh sebelum diumum dan dilaksanakan nanti,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Pada Rabu, Najib mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan skim i-Survive membabitkan pemberian pinjaman automatik sehingga RM5,000 kepada orang ramai sebagai langkah membantu rakyat dan menaikkan aliran tunai dalam ekonomi negara.

Sementara itu, Barjoyai berkata, pinjaman yang diberikan kepada rakyat biasanya akan terus digunakan, sekali gus menaikkan tingkat kecairan kewangan dan menyemarakkan ekonomi serta bakal memberikan kesan berganda.

Secara konvensional, katanya, pihak bank akan menggunakan ukuran kewangan untuk mengurangkan nisbah rizab bagi membolehkan mereka memberi pinjaman lebih banyak.

Artikel Berkaitan:

“Sebenarnya, sistem bank di Malaysia membantu kerajaan khususnya Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mewujudkan wang dengan memberikan pinjaman menggunakan konsep penciptaan wang.

“Ini bermakna, bank akan menggunakan deposit daripada pelanggan untuk disimpan sebagai simpanan minimum, kemudian bank boleh memberikan pinjaman hampir 10 kali ganda daripada deposit yang ada dan ini dipanggil proses penciptaan kredit.

“Melalui cadangan skim ini, bank digalakkan untuk memberi tambahan masa kepada peminjam untuk membayar tanpa mengenakan faedah bagi membaiki sistem ekonomi,” jelas beliau.

Mengulas isu sama, seorang lagi pakar ekonomi daripada Asia e-University, Profesor Datuk Dr Shazali Abu Mansor berkata, cadangan tersebut perlu diperhalusi supaya ia betul-betul memberi impak kepada rakyat.

Beliau berkata, ia supaya wang yang diperoleh itu tidak disalah gunakan, pada masa sama dapat meningkatkan ekonomi.

“Pinjaman melalui skim i-Survive ini seelok-eloknya diberikan kepada golongan terjejas, misalnya yang dibuang kerja atau yang mahu memulakan perniagaan.

“Bagi saya, lebih baik jika skim ini tidak mengenakan faedah atau apa-apa caj kerana ia dicadangkan atas tujuan membantu rakyat,” ujar beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!