Hospital medan HPP dijangka mulakan 'dry run' Khamis depan
GEORGETOWN - Hospital medan yang dibina oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Hospital Pulau Pinang (HPP) dijangka akan memulakan ujian atau 'dry run' pada Khamis depan.
Pegawai Memerintah Batalion Kedua Perubatan ATM, Leftenan Kolonel Dr Zamri Derahman berkata, pihaknya diberi tempoh 10 hari untuk menyiapkan hospital berkenaan, namun mereka akan cuba mempercepatkan kerja pembinaan.
Menurutnya, kerja pembinaan telah bermula pada jam 9.30 pagi Khamis di tapak parkir HPP di Jalan Residensi di sini dengan keluasan 2,400 meter persegi.
"Pagi tadi (Khamis) kami tiba bersama peralatan termasuk khemah di tapak parkir HPP yang mana ia merupakan tapak untuk hospital medan ini. Kerja pemasangan khemah dijangka siap pada malam ini.
"Kami diberi 10 hari untuk menyiapkan kerja pemasangan semua peralatan, teknikal dan mekanikal sebelum 'dry run', namun kami akan percepatkan.
"Kami akan cuba mempercepatkan 'dry run' dalam tempoh tujuh hari iaitu pada Khamis depan. Bagaimanapun ia bergantung kepada beberapa faktor antaranya cuaca," katanya ketika ditemui di tapak parkir HPP di sini pada Khamis.
Dr Zamri berkata lagi, sebanyak 100 katil yang dilengkapi sumber oksigen ditempatkan di hospital itu kelak iaitu empat buah untuk unit rawatan rapi (ICU) dan bakinya untuk pesakit tahap empat.
"Kita menggunakan empat pegawai dan 50 anggota untuk membina 23 khemah di sini. Apabila sudah siap nanti, pengoperasian akan dijalankan oleh dua pegawai dan 22 anggota.
"Ia melibatkan kerja teknikal, keselamatan, pentadbiran dan perawatan. Kita akan dibantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dari segi klinikal.
"Hospital ini khas untuk pesakit Covid-19 untuk peringkat empat dan lima," katanya.
Hospital di HPP itu merupakan hospital medan kesembilan dibina oleh ATM yang mana sebelum ini antara yang dibina adalah di Hospital Kepala Batas di Pulau Pinang, Hospital Sultanah Aminah di Johor, Labuan dan Tawau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!