Pematuhan SOP tempat tumpuan di KL, Putrajaya dipertingkat
KUALA LUMPUR - Penguatkuasaan di lokasi tumpuan awam dan taman riadah di Kuala Lumpur dan Putrajaya akan dipertingkatkan dalam usaha memantapkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) susulan peralihan ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, beberapa tempat tumpuan di Putrajaya dilengkapi kemudahan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan pembesar suara.
"Ada bilik gerakan yang akan monitor pematuhan SOP. Peringatan boleh dibuat melalui pembesar suara jika ada pelanggaran SOP selain hebahan dilakukan supaya pengunjung menjaga penjarakan sosial.
"Bukan hanya aspek penguatkuasaan, penguat kuasa juga membantu jika berlalu kecemasan melalui butang kecemasan yang dipasang di beberapa lokasi tumpuan," katanya ketika lawatan di Rumah Prihatin sempena Hari Malaysia pada Khamis.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas lokasi awam menjadi tumpuan orang ramai selepas peralihan Fasa 2 PPN di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Sementara di Kuala Lumpur Shahidan berkata, pemantauan SOP di Kuala Lumpur digerakkan melalui hebahan menggunakan kereta peronda dari masa ke masa.
"Banyak kawasan taman kini menjadi tempat tumpuan berkelah khususnya pada Sabtu dan Ahad. Penguat kuasa ditempatkan di mana-mana, bukan hanya untuk penguatkuasaan tetapi juga membantu orang awam.
"Kami belum ada cadangan lagi untuk mengehadkan jumlah pengunjung dan had waktu di sesuatu kawasan kerana keadaan masih terkawal," katanya.
Bagaimanapun katanya, sebarang perubahan peraturan akan diputuskan melalui pemantauan laporan kes harian Covid-19 yang menjadi kriteria untuk mengawal keadaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!