Giliran Piala Tun Sharifah Rodziah pula dibatalkan
JAWATANKUASA Bola Sepak Wanita Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil keputusan membatalkan saingan kejuaraan Piala Tun Sharifah Rodziah (PTSR) 2021.
Menurut Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar, keputusan mengambil kira situasi semasa berkaitan pandemik Covid-19, hal-hal pengoperasian serta keselamatan pemain, pegawai, petugas perlawanan dan individu yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dengan penganjuran pertandingan tersebut.
“Sama seperti pembatalan Piala Presiden, Piala Belia dan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) sebelum ini, keputusan ini bukan sesuatu yang mudah memandangkan isu Covid-19 yang berlarutan memberi impak amat ketara kepada industri bola sepak termasuk pembangunan teknikal pemain.
“Biarpun begitu sebagai sokongan kepada inisiatif pihak kerajaan dalam membendung penularan wabak ini, FAM memutuskan untuk tetap memberi sokongan dengan memberi kerjasama dan patuh kepada arahan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS),” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Jelas Mohd Saifuddin lagi, FAM juga berasakan keputusan ini akan dapat memberi lebih ruang kepada pasukan-pasukan untuk membuat persediaan lebih terperinci pada masa akan datang.
“Setiap pasukan adalah bebas untuk mengekalkan pasukan masing-masing, malah FAM amat berbesar hati untuk memberikan khidmat nasihat serta sokongan kepada semua yang terlibat terhadap usaha pembangunan bola sepak wanita di peringkat negeri.
“FAM ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada kesemua pasukan yang telah memberikan komitmen yang tinggi dalam usaha dan perancangan FAM sebelum ini,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!