Pengiktirafan Bukit Bendera martabatkan Pulau Pinang di mata dunia

No Image Caption
A
A
A

GEORGETOWN - Pengiktirafan Bukit Bendera Pulau Pinang sebagai tapak rizab biosfera Malaysia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) membantu meningkatkan kedudukan negeri itu di peringkat antarabangsa.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pengiktirafan itu bakal melonjakkan lagi matlamat jangka panjang Pulau Pinang memulakan pembangunan bermakna dan lestari yang memberi tumpuan kepada kepelbagaian biologi dan pemuliharaan ke arah mencapai Visi Pulau Pinang 2030.

“Kita juga menjangkakan suntikan semangat baharu dalam usaha kita untuk memelihara serta memulihara flora dan fauna, kehijauan alam semula jadi dan warisan budaya yang tidak ternilai bagi Pulau Pinang dan rakyatnya.

"Kita berhasrat menjadikan Pulau Pinang contoh yang baik kepada negeri-negeri lain dalam perkara berkaitan pemuliharaan dan pembangunan ekonomi yang mampan di Malaysia kerana amalan hijau ini akan membantu meningkatkan kualiti hidup kita dan memberikan peluang yang lebih baik di saat Pulau Pinang berkembang sebagai bandar pintar dan hijau,” katanya pada sidang akhbar maya mengenai pengiktirafan itu pada Khamis.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa Negeri, Jagdeep Singh Deo dan Pengurus Besar Perbadanan Bukit Bendera (PHC), Datuk Cheok Lay Leng.

Susulan pengiktirafan itu, Kon Yeow berkata, PHC akan menubuhkan unit pengurusan untuk mengurus tapak berkenaan serta mengembangkan program untuk meningkatkan kesedaran dan mempromosikan pendekatan lestari terhadap pembangunan ekonomi yang relevan secara sosial dan budaya.

“Melalui pengalaman Georgetown sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, saya rasa ini juga akan menjadi perjalanan yang mencabar. Ada banyak yang dapat dipelajari daripada pengalaman itu (ketika Georgetown diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada 2008) dari segi pengurusan dan kawalan pembangunan,” katanya.

Menurut Kon Yeow, inisiatif mencalonkan Bukit Bendera Pulau Pinang sebagai tapak rizab biosfera bermula sejak 2016 dan ia merupakan pengiktirafan kedua negeri daripada UNESCO dan yang ketiga seumpamanya di Malaysia, selepas Tasik Chini, Pahang dan Banjaran Crocker, Sabah.

Artikel Berkaitan:

Kon Yeow menyifatkan kejayaan itu adalah hasil usaha bersepadu dan kerjasama dengan Kumpulan The Habitat, para akademik dari Universiti Sains Malaysia, pelbagai agensi kerajaan negeri dan pusat serta sokongan padu daripada Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA).

“Kerajaan Pulau Pinang berterima kasih dan amat berbangga dengan kejayaan ini, hasil usaha yang mengambil masa lima tahun bagi menjayakannya,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!