Orang ramai masih takut dengan penularan Covid-19
KOTA BHARU - Walaupun masih takut dengan penularan pandemik Covid-19, namun penduduk sekitar negeri ini tetap tidak melepaskan peluang menikmati cuti umum Hari Malaysia pada Khamis dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Tinjauan Sinar Harian di beberapa lokasi tarikan pengunjung di negeri ini bagaimanapun mendapati suasana kemeriahannya tidak sama seperti sebelum penularan wabak Covid-19.
Pantai Cahaya Bulan (PCB) di sini juga hanya dikunjungi mereka yang sudah biasa ke kawasan tersebut untuk berehat dan menikmati permandangan.
Seorang pengunjung, Asuma Omar, 65, berkata, dia sering ke pantai berkenaan untuk memberi makan kepada kucing jalanan di sekitar pantai berkenaan.
“Saya selalu datang beri kucing makan, selepas itu saya akan balik terus. Takut untuk keluar lama-lama walaupun kita memakai pelitup muka.
“Tapi rata-rata mereka yang datang ke sini pun menjaga SOP. Mereka duduk pun tak lama dan waktu pagi pun kurang pengunjung. Ramai yang singgah untuk ambil angin pada waktu petang, tapi tetap jaga SOP. Ada juga yang datang tapi tidak turun dari kenderaan,” katanya.
Seorang lagi pengunjung, Le Moses, 42, berkata, dia ke pantai berkenaan untuk beriadah sambil menikmati udara pantai.
Bagaimanapun, katanya, dia hanya singgah dalam masa satu jam sahaja.
Menurutnya, lokasi itu menjadi pilihannya kerana hobinya mengambil gambar suasana matahari naik atau terbenam.
“Saya takut untuk berjalan dekat dengan orang lain, walaupun kita sudah mengambil vaksin. Kena sentiasa jaga diri dan memakai pelitup muka walaupun berada di pantai yang berangin,” katanya.
Perkara yang sama dikongsikan Siti Nor Aida Mat Zain, 23, dan rakannya Najwa Hamzah, 25, yang menjadikan pesisir pantai berkenaan sebagai lokasi untuk mereka berdua mengeluarkan peluh.
Aida berkata, dia dan Najwa akan menggunakan masa cuti sebaik mungkin untuk menikmati suasana pantai.
“Kita takut nak pergi ke tempat lain, jadi kita pilih pantai saja. Selepas joging, kami berehat sekejap, bentang tikar dan makan. Paling lama pun satu jam, itu pun sekali atau dua kali seminggu. Jarang kami keluar ketika cuti umum kerana risau jangkitan Covid-19,” katanya.
Seorang peniaga, Napisah Osman, 66, pula berkata, dia membuka gerainya sejak seminggu lalu selepas hampir enam bulan ditutup.
Sejak dibuka pada minggu lalu, katanya, hanya hari minggu dan cuti umum sahaja pantai berkenaan menjadi tarikan orang ramai.
“Orang ramai pun takut. Kebanyakan orang ramai pun beli makanan dan makan dalam kereta saja. Nak buat macam mana, kita terpaksa hadapi dengan baik dan berdoa semoga rezeki sentiasa ada.
"Apa yang penting keselamatan itu sama-sama jaga,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!