Mangsa terjejas tanah runtuh akan dibantu
PENAMPANG - Bantuan sewajarnya akan disampaikan kepada keluarga yang terjejas termasuk ahli keluarga yang maut akibat kejadian tanah runtuh pada Rabu di beberapa daerah di negeri ini.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Ir Shahelmey Yahya berkata, hujan lebat yang berterusan sejak tengah hari Rabu menyebabkan Kota Kinabalu, Putatan dan Penampang dilanda banjir dan berlaku kejadian tanah runtuh di beberapa lokasi.
"Banyak kejadian tanah runtuh dan banjir yang teruk dilaporkan dan sehingga kini kita masih mengumpul laporan daripada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah yang terlibat untuk digerakkan jentera.
"Selepas taklimat pembangunan negeri Sabah yang dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan beliau datang sendiri ke lokasi kejadian rumah yang terlibat dalam tanah runtuh di Kampung Madsiang.
"Saya difahamkan, bantuan sewajarnya akan dihulurkan dan kerajaan negeri akan hulur bantuan yang sepatutnya. Akan ada bantuan kepada mereka (mangsa terkorban)," katanya ketika ditemui pemberita selepas Ismail Sabri melawat lokasi tanah runtuh di Kampung Madsiang pada Khamis.
Diminta mengulas berhubung kesan sehingga membabitkan kehilangan nyawa akibat runtuhan tanah, Shahelmey menasihatkan penduduk yang tinggal di kawasan cerun dan berisiko supaya berhati-hati terutama ketika cuaca kurang baik.
"Kita juga minta pejabat dan majlis daerah untuk memantau keadaan itu dari masa ke masa dan kita dimaklumkan akan berlaku peralihan monsun dari sekarang sehingga November yang akan membawa jumlah taburan hujan yang agak tinggi di Sabah.
"Jadi kita kena prihatin dan berwaspada dari masa ke masa," katanya.
Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan dua kejadian tanah runtuh berlaku di Kampung Madsiang dan satu lagi di Jalan Bundusan, Kota Kinabalu sehingga meragut tiga nyawa termasuk bayi dan kanak-kanak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!