Lokasi bersejarah di Melaka lengang
MELAKA - Banda Hilir yang terkenal sebagai antara destinasi pelancongan utama di Melaka masih lengang dan suram daripada dikunjungi orang ramai biarpun cuti umum Hari Malaysia pada Khamis.
Tinjauan di beberapa lokasi pelancongan dan bersejarah seperti Bukit St Paul, Bangunan Merah Stadthuys, Memorial Kemerdekan dan Dataran Belanda di Banda Hilir mendapati hanya segelintir orang ramai mengunjungi lokasi tumpuan tersebut berbanding sebelum ini yang tidak lekang dilawati pelancong termasuk lokasi terbaik untuk bergambar kenangan.
Penjawat awam, Marhaini Abd Hamid, 40 berkata, disebabkan tidak ramai orang, dia bersama anaknya yang berusia 11 tahun tertarik untuk mengunjungi Kota A'Famosa dan bersiar-siar di kawasan sekitarnya memadangkan anak lelakinya itu hampir empat bulan tidak keluar rumah sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh berikutan pandemik Covid-19.
Menurutnya, sekurang-kurangnya dia dapat meluangkan masa bersama anaknya walaupun hanya di dalam negeri sahaja.
"Teruja juga bila tempat yang sering dibanjiri orang kini lengang dan kita nak berjalan pun rasa selamat kerana tidak perlu berhimpit-himpit atau bersesak.
"Lagipun Melaka dah beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan boleh rentas daerah, secara tidak langsung membantu menjana pendapatan peniaga," katanya yang menetap di Durian Tunggal.
Bagi Asri Ahmad, 50 pula berkata, memadangkan dia tinggal di kawasan pantai iaitu di Pantai Puteri, maka dia mengambil kesempatan cuti umum kali ini melawat kawasan bersejarah bersama isteri dan tiga anaknya.
"Bersantai di pantai kita dah biasa, jadi bila tahu kawasan ini tidak ramai yang datang, jadi kami berjalan-jalan di lokasi bersejarah ini.
"Sekurang-kurangnya cuti umum ada juga aktiviti yang kami dapat lakukan seisi keluarga," katanya.
Sementara itu, pembantu kedai makan di hadapan Bangunan Stadthuys, Safia Anngilou, 28, berkata, walaupun kehadiran pelanggan di kios tidak serancak dulu namun dia tetap bersyukur kerana masih ada juga pelanggan yang datang.
"Biarpun saya telah lengkap dos vaksin namun masih belum bersedia untuk membenarkan pelanggan 'dine in' dan setakat ini pelanggan memahami.
"Kami jangka bila kadar vaksinasi di Melaka dah mencapai 90 peratus, kemungkinan bulan depan akan kami letak kerusi dan meja di depan kios," katanya.
Sementara itu, tinjauan di Pengkalan Balak, Masjid Tanah juga mendapati pengujung yang berkelah dan bersantai tidak seramai sebagaimana hujung minggu lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!