1,520 penumpang berlepas melalui lapan penerbangan ke Langkawi

 Pelancong mula tiba di Lapangan Antarabangsa Langkawi sempena pembukaan Gelembung Pelancongan Langkawi hari ini. Langkawi mula menerima kedatangan pelancongan hari ini selepas ditutup berikutan pandemik Covid-19. Foto Bernama
Pelancong mula tiba di Lapangan Antarabangsa Langkawi sempena pembukaan Gelembung Pelancongan Langkawi hari ini. Langkawi mula menerima kedatangan pelancongan hari ini selepas ditutup berikutan pandemik Covid-19. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Seramai 1,520 penumpang berlepas menerusi lapan penerbangan ke Langkawi sempena bermulanya projek rintis gelembung pelancongan domestik Langkawi pada Khamis.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, kesemua penerbangan itu melibatkan empat penerbangan Malaysia Airlines (MAS), satu penerbangan Malindo Air dan tiga AirAsia.

"Saya mendapati ada penumpang telah membawa kit ujian kendiri untuk air liur dan ada pula yang membeli daripada kaunter jualan di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2 (KLIA2)," katanya dalam hantaran menerusi laman Facebook rasmi beliau pada Khamis.

Ka Siong yang meninjau proses ujian Kit Ujian Pantas (RTK) Antigen pengesanan Covid-19 terhadap penumpang ke Langkawi di KLIA dan KLIA2 berkata, setakat tinjauannya pada Khamis, terdapat seorang penumpang disahkan positif Covid-19 selepas ujian pengesanan dijalankan dan telah menjalani proses susulan diperlukan.

"Beliau (penumpang) juga akur apabila tidak dibenarkan menaiki penerbangan demi keselamatan penumpang lain. Ahli keluarga penumpang yang disahkan positif melalui RTK Antigen juga tidak menaiki pesawat kerana mempunyai kontak rapat," katanya.

Ka Siong yang diiringi Pengurus Besar Operasi Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Shahrunnizam Abd Jamil berkata, beliau berpuas hati melihat proses ujian RTK Antigen itu yang berjalan lancar sambil dibantu para pegawai daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Beliau berkata, ujian pengesanan Covid-19 itu dilaksanakan semata-mata mahu menjamin keselamatan semua pihak dan dalam masa sama memastikan projek rintis gelembung pelancongan domestik Langkawi berjalan baik.

Selain itu, Ka Siong berkata, ketika berinteraksi dengan para penumpang termasuk pelancong asing dari Perancis dan Korea Selatan, didapati mereka gembira apabila sektor pelancongan domestik mula dibuka menerusi projek rintis berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, mereka juga menyambut baik usaha kerajaan menambah baik prosedur operasi standard (SOP) termasuk mengenakan syarat ujian pengesanan Covid-19 sebelum memulakan perjalanan demi kebaikan semua pihak.

Ka Siong berkata, suasana di lapangan terbang yang sudah lama sunyi kini kembali ceria dengan para kakitangan penerbangan mula mengukir senyuman apabila dibenarkan kembali berkhidmat.

Beliau turut mengingatkan semua pihak supaya sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan supaya usaha kerajaan untuk memulihkan negara khususnya sektor ekonomi dan pelancongan dapat berjalan dengan baik. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!