Tetapkan semula 'kompas nasional', tiada sebarang diskriminasi

Tan Sri Rafidah Aziz
Tan Sri Rafidah Aziz
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perlu ada pelan yang komprehensif untuk mengembalikan semula Malaysia ke atas landasan yang tepat untuk menjadi ‘negara maju’, apatah lagi pandemik Covid-19 telah mengakibatkan agenda tersebut, tergendala menjelang tahun 2020.

Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Rafidah Aziz berkata, pelan itu, bukan sahaja merangkumi keperluan menyediakan infrastruktur moden secara fizikal, tetapi juga memastikan setiap rakyat di negara ini, dilengkapi dengan nilai dan prinsip yang sewajarnya.

Jelasnya lagi, perkara pertama sekali ialah menetapkan semula ‘kompas nasional', bagi memastikan setiap individu mempunyai arah tuju untuk sama-sama menggerakkan negara, tanpa mengira jantina, kaum, agama, serta taraf kewarganegaraan mereka.

“Ketika ini kompas nasional kita tidak menentu, banyak kekhilafan dalam menunjukkan arah mana kita perlu tuju. Seperti yang saya sebutkan, dengan kekurangan (kualiti) tadbir urus, tiada visi itu bermaksud kompas nasional sedia ada tidak lagi membawa kita ke arah yang tepat.

“Jadi apabila saya cakap tetapkan semula kompas nasional, ia bermaksud menyediakan arah untuk semua pemegang taruh di negara ini. Tak perlu bercakap pasal soal kaum, Bumiputera atau bukan Bumiputera. Kita bercakap tentang rakyat Malaysia, serta mereka yang ada pegangan dalam negara,” katanya lagi.

Sebagai contoh, Rafidah berkata, rakyat asing yang menetap di negara ini, pemastautin tetap, golongan yang melakukan perniagaan atau mereka yang menjadikan negara ini sebagai rumah kedua, mereka juga harus diterlibatkan sama.

Apabila ada polisi untuk menetapkan semula visi berkenaan, beliau berkata, negara ini akan kembali pada landasan yang tepat, dalam memastikan semua pihak tidak tercicir, tetapi sama-sama memastikan Malaysia kembali disegani di peringkat serantau, mahupun global.

Rafidah berkata demikian ketika menjadi tetamu kehormat forum secara maya Alumni Convent Bukit Nenas (CBN) – ‘Strive for a Fearless Future and Recalibrate Your Expectations’, bersempena Hari Malaysia ke-58.

Artikel Berkaitan:

Rafidah, dengan pengalaman sebagai bekas Ahli Parlimen selama 35 tahun itu selanjutnya berkata, Malaysia perlu memastikan rakyatnya, terutamanya generasi yang akan datang, mempunyai kebolehan untuk bersaing sehingga ke peringkat global.

“Pastikan rakyat kita boleh bersaing dalam apa jua bidang – pendidikan, teknikal, kemahiran, seni dan budaya, perubatan. Apa sahaja bidang... pastikan rakyat Malaysia, terutamanya golongan muda dapat mencapai taraf antarabangsa, atau lebih baik lagi.

“Mereka boleh dididik, diberi panduan yang sewajarnya. Institusi pengajian juga perlu mempunyai kurikulum yang membolehkan golongan ini mempunyai kapasiti untuk menjadi kompeten, jadi yang terbaik di antara yang terbaik, sama ada di rantau ini atau di global. Itu cara untuk kita maju ke hadapan,” katanya lagi.

Rafidah, yang sering digelar sebagai ‘Wanita Besi’, selanjutnya berkata, tidak ada ruang untuk membiarkan sebarang bentuk diskriminasi berlaku di negara ini, demi kepentingan peribadi golongan tertentu.

Jika itu masih dibiarkan, beliau berkata, masalah yang sedang berlaku di dalam negara ini, iaitu perpecahan dalam kalangan masyarakat, akan terus menghantui negara sehingga ke masa yang mendatang. - Awani

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!