Tak sempat mengelak, penunggang motosikal maut rempuh kereta terbabas

Perodua Alza hilang kawalan sebelum berpusing dan terhenti secara melintang di lorong paling kanan dalam kejadian di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) menghala ke Sungai Buloh pada malam Rabu.
Perodua Alza hilang kawalan sebelum berpusing dan terhenti secara melintang di lorong paling kanan dalam kejadian di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) menghala ke Sungai Buloh pada malam Rabu.
A
A
A

PETALING JAYA - Akibat tidak sempat mengelak, seorang penunggang motosikal maut selepas merempuh sebuah Perodua Alza yang terbabas di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) menghala ke Sungai Buloh di sini pada malam Rabu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pada malam kejadian, keadaan jalan yang licin menyebabkan kereta berkenaan hilang kawalan sejurus tiba di Kilometer (KM) 24.8 lebuhraya tersebut.

"Kereta Alza tersebut telah hilang kawalan lalu berpusing dan melanggar pembahagi jalan akibat jalan licin disebabkan hujan.

"Kereta itu telah terhenti dalam keadaan melintang di lorong paling kanan dan terus dilanggar oleh penunggang motosikal jenis Honda RS150," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurut Fakhrudin, mangsa dibawa ke Hospital Sungai Buloh namun disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan.

Katanya, siasatan lanjut sedang giat dijalankan untuk mengenal pasti punca kematian dan kemalangan tersebut.

"Saksi kejadian diminta tampil ke balai berdekatan atau berhubung terus dengan pegawai penyiasat trafik Inpektor Rozilah Hussin di talian 016 267 9025," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!