Rodriguez belum capai prestasi terbaik untuk diturunkan
PENGENDALI Everton, Rafa Benitez menyifatkan tonggak skuad kendaliannya itu, James Rodriguez masih belum mencapai tahap prestasi terbaiknya untuk diturunkan pada aksi berdepan Aston Villa, pada Sabtu ini.
Menurutnya, pemain Colombia itu masih perlu menunggu bagi tempoh beberapa minggu lagi sebelum disahkan boleh beraksi bersama The Toffees.
“Berdasarkan laporan perubatan, kami dimaklumkan bahawa Rodriguez memerlukan beberapa minggu lagi untuk pulih sepenuhnya dan boleh beraksi seperti biasa.
“Kami tidak tahu tempoh sebenar tetapi berdasarkan jangkaan kami, ia mungkin mengambil masa dua hingga tingga minggu lagi.
“Bagaimanapun, dia kini sudah kembali berlatih, dan dia bukannya berlatih secara berseorangan, tetapi berlatih seperti biasa dengan rakan-rakan sepasukan dan o leh itu, kita akan lihat bagaimana perkembangannya (kecergasan) nanti, sebelum membuat apa-apa keputusan,” katanya.
Untuk rekod Everton menanti kunjungan Norwich di Goodison Park pada 25 September, berdepan Manchester United di Old Trafford (2 Oktober) sebelum melayan kunjungan West Ham pada 17 Oktober.
Selain Rodriguez, penyerang, Dominic Calvert-Lewin juga diberitakan tidak cergas untuk bedraksi bagi tempoh dua hingga tiga minggu berikutan masalah kecederaan.
Sementara itu, Benitez berpuas hati dengan prestasi The Toffess setakat ini apabila masih mengekalkan rekod tanpa kalah dalam empat perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL), setakat ini.
Katanya, tiga kemenangan dan seri sekali setakat ini boleh disifatkan sebagai pencapaian yang memuaskan.
“Saya tak katakan ia sempurna kerana seperti biasa apabila berlaku pertukaran pengurus, ia akan melibatkan beberapa keputusan yang tidak memuaskan di awal musim.
“Tetapi kali ini ia tidak berlaku dan bagi saya penyokong di sini (Goodison Park), juga sangat membantu dengan sentiasa berdiri teguh di belakang saya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!