Pengalaman misteri di Piramid Gua Kelam

Pengalaman misteri menyusuri sungai, lorong sempit, jalan berbatu dan suasana gelap bekas lombong batu timah pasti memberi satu pengalaman luar biasa buat pengunjung ke Gua Kelam Dua.
Pengalaman misteri menyusuri sungai, lorong sempit, jalan berbatu dan suasana gelap bekas lombong batu timah pasti memberi satu pengalaman luar biasa buat pengunjung ke Gua Kelam Dua.
A
A
A

PADANG BESAR - Pengalaman misteri menyusuri sungai, lorong sempit, jalan berbatu dan suasana gelap bekas lombong batu timah pasti memberi satu pengalaman luar biasa buat pengunjung ke Gua Kelam Dua.

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa episod pengembaraan misteri yang menyimpan 1,001 rahsia keindahan itu ibarat hampir sama seperti menonton adegan filem Hollywood ‘Indiana Jones’ atau ‘Tomb Raider’.

Salah satu tarikan baharu yang dibuka kepada orang ramai yang terdapat di dalam Gua Kelam Dua ialah tiga buah piramid dipercayai kubur pelombong biji timah.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Perlis Awang Shaffie Awang Ahmadni berkata, tiga buah piramid di Gua Kelam Dua itu akan menjadi tarikan baharu pelancong ke gua batu kapur tersebut.

“Gua Kelam Dua telah lama dibuka kepada orang ramai namun mungkin ia kurang popular berbanding Gua Kelam Satu kerana masih ramai yang tidak tahu keunikan yang terdapat di dalamnya,” katanya kepada Bernama.

Suasana di dalam Gua Kelam ujar beliau boleh dikatakan hampir 80 peratus sama seperti yang digambarkan dalam filem Hollywood ‘Indiana Jones’ dan ia pasti memberi pengalaman luar biasa kepada pengunjung yang gemarkan eksplorasi misteri dan mencabar.

Struktur ketiga-tiga susunan batu itu menyerupai piramid yang terdapat di Mesir dan ia dipercayai kubur lama pelombong biji timah, namun belum ada kajian khusus dilakukan terhadap objek misteri itu.

“Kita percaya ia adalah kubur lama berdasarkan beberapa penemuan yang terdapat di sekitar piramid yang berukuran setinggi kira-kira dua hingga tiga meter dan tiga meter lebar itu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau memberitahu, orang ramai yang ingin melihat piramid Gua Kelam perlu terlebih dahulu berhubung dengan Jabatan Perhutanan Negeri Perlis bagi mendapat khidmat juru pandu dan peralatan pendakian dan keselamatan.

“Buat masa ini Gua Kelam Dua dibuka pada pengunjung setiap hujung minggu dengan dua sesi iaitu jam 9 pagi dan 11 pagi bagi sesi pertama dan 2 petang bagi sesi kedua,” katanya.

Awang Shaffie berkata orang ramai juga boleh datang secara terus namun mereka digalakkan untuk membuat tempahan awal.

Seperti peraturan yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), kata beliau hanya mereka yang lengkap vaksinasi Covid-19 dibenarkan masuk ke dalam gua tersebut.

Terdapat tiga pintu Gua Kelam iaitu Gua Kelam Satu, Dua dan Tiga dengan masing-masing-masing menawarkan pengalaman berbeza kepada pengunjung ke gua batu kapur yang merupakan bekas lombong biji timah yang mula dibuka pada tahun 1935.

Gua tersebut terletak di pinggir pekan Kaki Bukit iaitu kira-kira 33 kilometer dari Kangar. Gua Kelam ini memiliki keluasan sebanyak 2,000 hektar dan telah diwartakan sebahagian daripada Taman Negeri Perlis pada 3 Julai 2008. -Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!