Tangani kes 'Long Covid' secara terpadu

Mohamad Hasan
Mohamad Hasan
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu mula memberi perhatian terhadap kes pesakit yang mengalami kesan jangka panjang wabak Covid-19 atau 'Long Covid' secara terpadu.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, dasar negara dalam menangani pandemik ini tidak boleh terhenti dari segi pencegahan dan rawatan sahaja.

Sebaliknya, ia mesti merangkumi rawatan jangka masa panjang terhadap bekas pesakit serta pelbagai penyelidikan berkaitan.

"Kefahaman tentang kesan vaksinasi, kaedah rawatan dan pemulihan yang berkesan serta pelaburan untuk penyelidikan berkaitannya harus diberikan keutamaan.

"Long Covid adalah keadaan di mana bekas pesakit terus mengalami pelbagai masalah kesihatan setelah pulih. Kebanyakannya berterusan selama empat ke 12 minggu, namun ada yang berlarutan sehingga sembilan bulan.

"Kerajaan belum mengemukakan data terperinci berkaitan masalah ini. Namun, beberapa universiti tempatan telah mula menjalankan kajian tentangnya," katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Jumaat.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Lancet yang juga jurnal perubatan paling berwibawa dalam terbitannya pada 28 Ogos 2021 menyatakan bahawa Long Covid adalah cabaran yang besar terhadap sektor perubatan.

"Banyak yang masih tidak diketahui tentangnya, jadi pelbagai penyelidikan rentas disiplin sangat perlu untuk membolehkan rawatan terbaik diberikan.

Artikel Berkaitan:

"Malaysia wajar ada dasar dan strategi khusus mengenal pasti, menyelidiki dan memulih kesan jangka panjang Covid-19 terhadap penghidapnya.

"Lebih 2 juta rakyat negara ini telah terjangkit. Angka ini mungkin lebih tinggi dan peratusan yang mempunyai Long Covid juga mungkin akan semakin ramai.

"Pemulihan kesihatan mereka ini adalah sangat penting kepada kualiti kesihatan awam secara menyeluruh," ujarnya.

Tambah Mohamad, dunia perubatan akan terus terbeban dengan pelbagai cabaran baharu kerana pandemik ini.

Justeru katanya, pelaburan kesihatan negara tidak boleh lagi pada kadar empat peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Sebaliknya, Mohamad berkata, sudah tiba masanya negara menyasarkan peruntukan tujuh ke lapan peratus KDNK negara untuk sektor kesihatan.

"Langkah ini adalah permulaan yang baik untuk reformasi besar-besaran sektor perubatan dan kesihatan setelah tekanan luar biasa terhadap sistem perubatan kita semenjak Februari 2020," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!