Lebih 50 peratus sampah dikutip adalah plastik
SHAH ALAM - Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin mendedahkan lebih 50 peratus sampah dikutip di negara ini adalah plastik.
Justeru menurutnya, penggunaan bahan lebih mesra alam amat digalakkan bagi menggantikan penggunaan plastik yang membebaskan gas karbon dioksida, yang menjadi punca pencemaran alam sekitar.
“Kerana apabila ada ramai yang melakukan pembersihan di pantai, daripada 100 peratus sampah dikutip, lebih 50 peratus adalah sampah plastik telah digunakan. Ini yang perlu kita kurangkan
“Penggunaan plastik akan menjadi masalah apabila ia dibuang merata seperti ke sungai dan mengalir ke laut. Jika penggunaan plastik dilupus secara baik oleh pengguna, ia tidak akan memberi impak kepada persekitaran.
“Saya juga mahu kempen 3R (kurangkan, pakai semula dan kitar semula) diteruskan bagi atasi masalah pencemaran plastik ini dengan mengguna bahan mesra alam yang dapat ganti bahan plastik,” katanya dalam program Bicara Minda anjuran Sinar Harian di Dewan Karangkraf, di sini hari ini,
Dalam pada itu, Bee Yin sekali lagi menegaskan sasaran kementeriannya masih sama untuk bebas penggunaan plastik menjelang tahun 2030.
“Bukan tidak guna langsung plastik, tetapi guna bahan mesra alam, iaitu plastik biodegradasi yang lebih selamat dan tidak mencemarkan alam sekitar,” katanya.
Mengulas pula mengenai kesedaran masyarakat mengenai isu alam sekitar, Bee Yin berkata, dia akui trend kesedaran semakin meningkat.
“Saya lihat ada trend peningkatan di mana orang ramai terutama generasi muda lebih prihatin isu alam sekitar dan perubahan iklim.
“Ini faktor generasi dan jika ada lebih banyak tayangan dokumentari mengenai alam sekitar dan isu plastik pasti kesedaran itu akan terus meningkat,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!