Status rayuan BPR boleh disemak mulai esok

Tengku Zafrul
Tengku Zafrul
A
A
A

SHAH ALAM - Semakan status kelulusan rayuan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) boleh dibuat menerusi portal mulai Sabtu.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pembayaran rayuan itu melibatkan hampir 200,000 penerima dengan anggaran peruntukan sebanyak RM240 juta.

“Pembayaran akan dikreditkan terus ke akaun bank yang didaftarkan semasa permohonan rayuan BPR pada penghujung September ini, bersekali dengan penerima bayaran BPR fasa tiga,” katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.

Menurut Tengku Zafrul, permohonan rayuan itu telah diverifikasikan semula oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk memastikan inisiatif bantuan tunai dapat disalurkan dan dimanfaatkan oleh golongan yang benar-benar layak.

“Kerajaan telah mengemas kini data golongan B40 yang layak menerima BPR melalui permohonan rayuan yang dibuka pada 15 sehingga 30 Jun lalu.

“Kerajaan berharap bantuan tunai yang secara keseluruhannya berjumlah RM17.1 bilion sehingga hujung tahun ini boleh membantu Keluarga Malaysia menampung dan menguruskan perbelanjaan penting mereka,” katanya.

Tambah beliau, selaras dengan pengumuman kelulusan rayuan BPR itu, kerajaan turut memberi peluang kepada golongan yang lulus rayuan menyertai Program Jaringan Prihatin.

“Tarikh akhir pendaftaran dan penebusan program ini akan dilanjutkan sehingga 30 September 2021.

Artikel Berkaitan:

“Pelanjutan ini juga bertepatan dengan situasi semasa dan memberi ruang dan masa kepada mereka yang perlu mendaftar dan menebus telefon mereka di kedai secara fizikal,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!