Satu saat bezakan kedudukan 14 pelumba

Muzakkir
Muzakkir
A
A
A

HANYA satu saat memisahkan kedudukan pelumba yang menamatkan perlumbaan pada kedudukan pertama dengan pelumba tempat ke-14 pada sesi catatan masa sesi kelayakan kategori premier, CP150, Kejuaraan PETRONAS Cub Prix Malaysia di Litar Utara Sepang, minggu ini.

Pelumba pasukan ONEXOX TKRR Racing Team, Mohd Muzakkir Mohamed berpuas hati apabila berjaya mencatatkan masa terpantas pada sesi kelayakan kategori premier, CP150 sempena Kejuaraan PETRONAS Cub Prix Malaysia di Litar Utara Sepang.

Menurut Mohd Muzakkir, dia berpuas hati dengan catatan 1’17.271 saat yang dicatatkannya pada sesi kelayakan berkenaan.

Malah katanya, dia sendiri tidak menyangka mampu mencatatkan catatan masa berkenaan setelah sekian lama tidak beraksi dalam kejuaraan berkenaan.

“Secara keseluruhannya, saya berasa amat berpuas hati dengan keputusan kami hari ini. Saya serta rakan sepasukan, Mohd Akid Aziz, agak konsisten dari latihan bebas pertama sehinggalah ke sesi kelayakan.

“Peningkatan prestasi Akid pada pusingan ini begitu penting untuk pasukan kami. Dengan adanya Akid di kelompok pertama, kami boleh menggunakan strategi berpasukan seperti yang sering dipraktikkan oleh pelumba-pelumba lain,” katanya.

Pada sesi kelayakan berkenaan, pelumba senior daripada pasukan Yamaha GENBLU AHM Motorsport, Ahmad Fazrul Sham, mencatatkan masa kedua terpantas dengan 1’17.285s disusuli Azroy Hakeem Anuar dari pasukan Honda Yuzy Idemitsu Team dengan 1’17.335s (ketiga), manakala dua lagi pelumba daripada pasukan Yamaha GENBLU AHM, Mohd Iqbal Amri dan Mohd Khairul Ikhwan Ajis (ketiga dan keempat).

Pelumba-pelumba lain yang turut melayakkan diri ke sesi Super Pole CP150 melibatkan Mohd Haziq Mohd Fairues, Mohd Izam Ikmal, Mohd Shafiq Rasol, Mohd Aiman Tahiruddin, dan Ahmad Afif Amran.

Artikel Berkaitan:

Kejutan berlaku pada sesi kelayakan ini ialah apabila Mohd Akid Aziz yang begitu dominan dalam dua sesi kelayakan bebas di sebelah pagi, menamatkan sesi kelayakan di tangga ke-12 dan tidak berjaya melayakkan diri ke Super Pole CP150.

Selain itu, pelumba-pelumba ternama seperti pendahulu kejuaraan Nazirul Izzat Bahauddin dan rakan sepasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor, Kasma Daniel Kasmayuddin menamatkan sesi kelayakan hanya di tangga ke-14 dan ke-15.

Dominasi pasukan ONEXOX TKKR Racing Team berterusan dalam kategori CP125 dengan persembahan mantap daripada Mohd Hafiza Rofa yang mencatat masa 1’22.229s, Mohd Fareez Afeez (Ipone Yamaha YY Pang Racing Team; kedua terpantas, 1’22.892s) manakala Mohd Syafiq Rosli (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor; ketiga, 1’23.050s).

Sementara itu, bagi kategori Wira KBS, Mohd Harith Haziq Zamri daripada pasukan Castrol Power1 Honda Team menyahut cabaran untuk mematahkan dominasi pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha-31 Racing dalam kategori bawah-17 tahun itu apabila mencatatkan 1’24.961s, 0.354s di hadapan trio pasukan 31 Racing tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!