Langkawi: Syarikat penerbangan, hotel setuju tangguh tiket, penginapan

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri -Foto Bernama
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Individu yang dikesan positif Covid-19 ketika saringan sebelum berlepas ke Langkawi boleh menangguhkan tarikh tiket penerbangan dan pakej penginapan percutian mereka ke pulau peranginan itu, ke tarikh lain.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Seri Nancy Shukri berkata, perkara itu telah dibincangkan oleh pihaknya dengan syarikat penerbangan dan penginapan berdaftar di Langkawi, dan setakat ini syarikat penerbangan dan pemilik penginapan bersetuju, untuk memberi komitmen mereka mengenai perkara itu.

“Kita sudah adakan perbincangan dengan syarikat penerbangan dan pihak hotel-hotel ini supaya jika pelancong positif, maka tiket dan pakej penginapan mereka boleh dipinda ke tarikh lain apabila mereka sudah boleh melancong nanti, jadi pelancong tidak akan mengalami kerugian,” katanya ketika dihubungi melalui Skype dalam Buletin Bernama.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah hari ini melalui perkongsian dalam media sosialnya memaklumkan, empat individu dikesan positif Covid-19 ketika ujian saringan sebelum berlepas ke Pulau Langkawi.

Menurutnya, ia melibatkan masing-masing satu dikesan ketika saringan di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) Lapangan Terbang Pulau Pinang dan PMA Subang, manakala dua lagi dikesan ketika saringan di PMA Feri Kuala Perlis.

Pada Khamis, Dr Noor Hisham berkata, lima individu didapati positif selepas menjalani saringan sebelum berlepas melalui jalan udara dan laut ke pulau peranginan tersebut.

Sementara itu, Nancy berkata, MOTAC akan membuat pemantauan selama dua minggu perkembangan aktiviti pelancongan di pulau itu, sebelum membuat keputusan membuka destinasi pelancongan yang lain.

“Kami telah meninjau pulau-pulau pelancongan lain seperti Pulau Tioman, Pulau Pangkor dan Labuan, kesemua populasi di pulau-pulau ini telah melebihi 80 peratus divaksin dan ada yang 100 peratus.

Artikel Berkaitan:

“Kami akan memohon kepada MKN (Majlis Keselamatan Negara) untuk membuka destinasi-destinasi ini setelah menilai keadaan di Pulau Langkawi,” katanya.

Sebelum ini MOTAC menjangkakan 200,000 pelancong berkunjung ke Langkawi hingga Disember ini susulan pembukaan semula industri di bawah projek rintis gelembung pelancongan yang bermula semalam (Khamis). - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!