Warga Indonesia ditahan miliki 17 laras senjata api tiruan
SIBU - Seorang lelaki warga Indonesia hari ini ditahan kerana disyaki memiliki 17 laras senjata api tiruan, 24 kelopak peluru dan 12 butir bola gel bersaiz di antara tujuh dan 7.5 milimeter di sebuah rumah sewa di Jalan Orang Kaya Setiaraja di Mukah, kira-kira 156 kilometer dari sini.
Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan Muhamad Rizal Alias berkata, lelaki berusia 27 tahun itu ditahan bersama-sama lima rakan senegara berumur lingkungan 25 hingga 39 tahun dalam satu serbuan oleh sepasukan anggota dari Jabatan Imigresen serta Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Negeri Sarawak pada kira-kira 3.05 pagi.
“Serbuan dibuat setelah pasukan itu mendapat maklumat ada sekumpulan warga asing yang dipercayai melakukan pelbagai kesalahan imigresen di rumah itu dan hasil pemeriksaan premis, pasukan itu telah menemukan senjata api tiruan berkenaan,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, lelaki itu kemudian diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut di bawah Akta Senjata Api 1960 manakala yang lain ditahan oleh Jabatan Imigresen bagi siasatan di bawah Akta Imigresen 1959.
“Polis telah memperoleh perintah reman selama empat hari hingga 21 September ke atas lelaki yang menghadapi siasatan memiliki senjata api ini untuk membantu siasatan,” katanya.
Muhamad Rizal juga berkata, siasatan setakat ini mendapati lelaki itu merupakan peniaga barangan dari Indonesia di sebuah ladang di Mukah dan senjata api tiruan jenis blaster berserta kelopak peluru dan bola gel yang dirampas itu diperolehnya dari pasaran negara itu.
Beliau berkata, senjata api jenis blaster itu biasanya digunakan oleh syarikat penyedia permainan paintball tetapi perlu mendapatkan permit untuk pembelian senjata berkenaan.
“Lelaki itu merancang menjalankan perniagaan permainan paintball di Mukah menggunakan senjata blaster itu tetapi tidak dapat dijalankan kerana tiada rakan kongsi tempatan untuk memohon lesen.
“Perniagaan juga tidak dapat dijalankan kerana Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!